ADAKAH sebarang kemungkinan seorang wanita hamil tetapi haidnya tetap datang pada awal kehamilan?
Saya baru saja berkahwin tiga bulan yang lalu. Suami saya terlalu inginkan zuriat kerana faktor sekeliling namun setelah tiga bulan mencuba, masih belum ada sebarang hasil.
Tetapi, perut saya membuncit seperti perempuan hamil. Haid saya pula lewat tiga hari dari tarikh sepatutnya kerana sebelum ini tidak pernah lewat. Puting payudara saya turut mengeluarkan cecair berwarna putih seperti air susu.
Selepas hari ketiga, haid itu terlalu sedikit, hanya berwarna coklat kehitaman saja. Setelah dua hari, ia terus kering. Namun saya musykil kerana terdapat denyutan nadi di bahagian perut saya. Saya juga selalu sakit pada bahagian pinggang dan belakang. Apakah keadaan yang saya lalui ini?
IRA,
Pulau Pinang
DENGAN mempunyai beberapa masalah iaitu haid lewat, pengeluaran susu badan (galaktorea), corak pendarahan ‘haid’ yang tidak seperti biasa, kesakitan serta perasaan denyutan nadi pada perut, anda sepatutnya sudah pun berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Sukar untuk memberikan jawapan pasti berdasarkan kaedah tilikan terhadap masalah anda tanpa digabungkan dengan pemeriksaan dan mungkin beberapa ujian mudah.
Sekiranya corak haid seseorang yang sudah menjalani hubungan seks tidak seperti biasa, kemungkinan dia sebenarnya hamil perlu diselidiki terlebih dulu sebelum mengandaikan penyebab lain.
Jika dia sememangnya hamil, keadaan kandungan perlu juga dilihat. Ini termasuk sama ada kandungan terbabit masih ada, kandungan itu di dalam rahim atau tidak serta sama ada kandungan ‘normal’ atau berpenyakit misalnya kandungan molar.
sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tandatanyaperutbuncit/Article/index_html