SYDNEY: Seorang pakar bedah berketurunan India atau digelar ‘Dr Maut’ didapati bersalah membunuh tiga pesakit di Australia dan mengancam nyawa beberapa pesakit lain dalam perbicaraan, semalam.
Menurut laporan Australian Associated Press, selepas membuat pertimbangan selama 50 jam, pihak juri membuat keputusan mendapati Jayant Patel bersalah terhadap tiga tuduhan membunuh ketika dia memegang jawatan Pengarah Pembedahan di Hospital Bundaberg Base di Australia antara 2003 hingga 2005. Patel yang digelar ‘Dr Maut’ oleh pihak media ketika polis melakukan siasatan terhadapnya di hospital di wilayah Queensland juga didapati bersalah mengakibatkan kecacatan ke atas pesakit lain.
Patel yang mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan hanya menunduk ke lantai ketika pihak juri mengumumkan keputusan. Dia akan mendengar sebutan hukuman esok.
Dalam perbicaraan 14 minggu itu, Patel yang diserah balik ke Australia dari Amerika Syarikat untuk dibicara di Mahkamah Agung Brisbane didapati melakukan pembedahan berbahaya ke atas beberapa pesakitnya. Pihak pendakwaan menyatakan James Phillips, 46, Gerry Kemps, 77, dan Mervyn Morris, 75, mungkin masih hidup jika Patel tidak melakukan pembedahan ke atas mereka dan Ian Vowles pula mengalami kecacatan kekal selepas pakar bedah yang dilatih di Amerika Syarikat itu membuang usus besarnya pada Oktober 2004.
Patel juga didapati cuai ketika bertugas di Amerika Syarikat dan dilarang melakukan pembedahan tanpa pandangan kedua pakar lain sebelum berpindah ke Hospital Bundaberg. Patel juga dikatakan pernah mempersoalkan kebolehannya selepas insiden kematian mangsa ketiga dalam pembedahan dilakukannya dengan berkata: “Mungkin saya tak seharusnya melakukan pembedahan ini.” - AFP
petikan teks dari harianmetro