Ini termasuk kaitannya sebagai tempat penunggu, tempat makhluk ghaib ‘dipenjara’, selain kewujudan lubuk pusar ketika air pasang.
Menyingkap kewujudannya, penyelidik dan pengkaji sejarah, Ariffin Mohd Dahlan atau Pak Engku mendakwa semuanya bermula pada 1528 apabila pembesar Perak mengadap Sultan Mahmud Shah, pemerintah terakhir Melaka yang bersemayam di Kampar, Sumatera, ketika itu.
Permintaan mereka ialah supaya salah seorang putera baginda dijadikan pemerintah Perak yang tidak mempunyai Sultan. Permintaan itu diperkenankan dan Raja Muzaffar dititah menjadi pemerintah Perak pertama.
“Bagaimanapun Raja Muzaffar lari ke Pagar Ruyong ketika itu kerana merajuk apabila adindanya dilantik Sultan Johor, sedangkan beliau anak sulung. Rombongan diraja itu belayar membawa bersama alat kebesaran diraja Melaka seperti nobat, nafiri, pedang Chura Simanjakini, cop mohor halilintar dan beberapa alat lain.
“Rombongan diiringi Megat Terawis. Mereka singgah di Siak, kemudian ke Klang dan seterusnya ke kuala Sungai Perak dengan pelayaran dikemudi Nakhoda Tumi. Bagaimanapun, bahtera Raja Muzaffar dilanda ribut taufan dan ombak besar ketika melalui kawasan lubuk pusar di Beting Beras Basah. Bahtera baginda tidak boleh bergerak sehingga terpaksa membuang segala peralatan kecuali alat kebesaran diraja,” katanya pada majlis sembang sejarah Kesultanan Perak, baru-baru ini.
Pak Engku berkata, jin yang menjaga lubuk pusar itu, Datuk Maharaja Siraja Jin, meminta baginda membuang mahkota yang dipakai ke laut.
“Arahan itu dituruti Raja Muzaffar. Selepas itu barulah ribut taufan reda dan bahtera boleh belayar. Sejak itu, Perak tidak memakai gelaran Tengku Mahkota memandangkan mahkotanya sudah dibuang sebaliknya diganti dengan gelaran Raja Muda.
“Selepas Raja Muzaffar berseru ‘Selikit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilingkung Ular Saktimuna, Sebenarnya Aku Menjadi Raja, Jauhkan Segala Malapetaka, Perpisahan Aku Di Selat Melaka” barulah bahtera baginda dapat bergerak ke tepi tebing dan disambut rakyat negeri Perak yang diketuai Tun Saban. Baginda kemudian dibawa mudik ke hulu dan ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama di Tanah Abang,” katanya.
Bagi Pak Engku, lokasi Beting Beras Basah di kuala Sungai Perak dan menghala ke selat Melaka itu juga kaya dengan pelbagai misteri tersendiri.
“Kawasan beting ialah kawasan lubuk pusar yang kadang-kadang timbul dan tenggelam apabila air pasang. Keadaan pasirnya keras dan putih, seluas padang bola seperti beras basah. Ia tempat pertabalan Sultan Perak sejak Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak pertama pada 1528 hingga sekarang. Setiap Sultan yang bakal menduduki takhta Perak dimestikan menziarahi Beting Beras Basah dan menjejakkan kaki di atas beting pasir,” katanya.
Beliau berkata, kawasan lubuk pusar itu dikenali sebagai Tasik Pawa Janggi dan menurut cerita rakyat Perak, ia tempat yang digeruni kerana banyak perkara misteri berlaku. Di dasar tasik itu dikatakan mempunyai kerajaan yang diperintah tujuh jin.
Kawasan berkenaan dikatakan menjadi tempat pawang memenjarakan makhluk ghaib yang jahat sejak dulu sehingga sekarang.
“Ia juga dikatakan ‘pusat’ makhluk ghaib seluruh dunia, termasuk Islam serta perkampungan orang bunian,” katanya yang turut berharap catatan sejarah itu mendapat perhatian dan pengiktirafan Persatuan Sejarah Malaysia dan bahannya dapat dibukukan untuk tatapan serta rujukan pencinta sejarah tanah air,” baca seterusnya disini