Perasaan Ingin Tahu dan Ingin Mencuba
“Remaja ialah mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Pada peringkat usia ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Justeru apa-apa sahaja perkara baru yang terjadi di sekeliling mereka, akan mengundang perasaan ingin tahu di kalangan remaja. Secara tidak langsung membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan perkara-perkara tersebut”.
“Perasaan begitu sebenarnya adalah baik untuk remaja, namun yang menimbulkan masalah apabila mereka tiada ‘guide line’ dari orang-orang yang sepatutnya, umpamanya para ibu bapa, keluarga, jiran dan sebagainya. Jadi perasaan ingin tahu remaja akan mendorong mereka melakukan apa ingin dilakukan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara perkara tersebut”.
Pengaruh Rakan Sebaya
“Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial.”
Dahagakan Keseronokkan
“Sikap remaja juga dahagakan keseronokan. Jadi apa sahaja benda-benda yang memberikan keseronokan kepada mereka akan dilakukan sama ada kerana terikut-ikut dengan sikap kawan-kawan atau pilihan sendiri. Hal ini menyebabkan remaja terlibat dengan rokok, pergaulan bebas, lepak, mat rempit, dadah dan sebagainya. Ketika ini apa yang terlintas di pemikiran mereka adalah keseronokan tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka itu kelak”.
Pengaruh Media
“Media
Sikap Keluarga
“Dalam hal ini keluarga juga ada kalanya menjadi pendorong bertambahnya gejala sosial di kalangan remaja. Saya tidak katakan semua keluarga. Apa yang dimaksudkan ialah keluarga yang mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja”
“Keluarga yang terlalu mengongkong ialah keluarga yang mengamalkan sikap terlalu tertutup. Maksudnya keluarga itu seolah-olah telah menetapkan suatu undang-undang atau peraturan yang perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga tanpa kompromi. Keadaan ini boleh menyebabkan jiwa remaja memberontak dan jika berpeluang keluar dari keadaan itu mereka akan melakukan apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa berfikir panjang. Manakala keluarga yang terlalu memberikan kebebasan ini biasanya bersikap terbuka yang keterlaluan. Di dalam keluarga sebegini, tiada suatu peraturan atau ketetapan khusus yang diamalkan. Keadaan ini juga tidak baik kerana para remaja perlukan sesuatu yang boleh dijadikan panduan untuk menjalani kehidupan mereka. Tanpa panduan, belum tentu mereka dapat melalui kehidupan ini dengan sebaik mungkin mengakibatkan mudah terjerumus ke arah gejala sosial yang pelbagai kini”
“Institusi keluarga penting untuk membantu mengelakkan para remaja dari terjebak dengan gejala sosial. Paling penting perlu dititik beratkan tentang agama. Adanya asas agama yang teguh, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus ke arah perkara yang tidak baik. Dalam hal ini peranan ibu bapa sangat penting sebagai contoh kepada anak-anak”.
“Kesibukan bukan alasan sebagai penghalang ibu bapa mengambil berat hal anak-anak mereka. Paling penting ibu bapa tahu berperanan dan mengamalkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa untuk berkomunikasi dan mengambil tahu perihal anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah ‘menjadi rakan’ kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah. Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik”.
“Ibu bapa juga digalakkan merancang aktiviti bersama anak-anak dan ahli-ahli keluarga. Contohnya, di bulan Ramadan ini, seboleh-bolehnya semua ahli keluarga berkumpul untuk berbuka puasa ataupun bersama-sama ke surau atau masjid untuk menunaikan solat sunat Tarawih.
Nasihat Untuk Remaja
“Kepada semua remaja, saya menyarankan agar sentiasa berwaspada dalam apa sahaja yang dilakukan. Jika berkawan, pilih kawan-kawan yang boleh memimpin ke jalan kebaikan bukannya kawan yang memusnahkan hidup . Jangan mudah terpengaruh. Kenali orang-orang di sekeliling . Penting juga anak-anak remaja mendapatkan seseorang yang boleh menjadi ‘role model’. Pilihlah mereka yang telah menempa kejayaan dalam kehidupan mereka supaya dapat dijadikan panduan untuk mencipta kegemilangan” ujar Prof Dr Fatimah mengakhiri wawancara dengan CAHAYA.