-
Mohd Shahfizal secara tiba-tiba meninggalkan kerusi pengantin untuk beraksi.
SUNGAI PETANI - Orang ramai yang menghadiri majlis perkahwinan di Taman
Keladi dekat sini kelmarin gempar apabila pengantin lelaki yang lengkap
mengenakan pakaian mempelai meninggalkan kerusi tempat duduk pengantin
yang telah dikhaskan.
Tindakan pengantin lelaki, Mohd Shahfizal Muhammad Shahfawi, 27, yang
bekerja di sebuah syarikat industri itu turut mengejutkan pasangannya,
Nor Hasliza Abd Rashid, 24, yang sedang disandingkan bersama ketika itu.
Bukan sahaja tetamu yang hairan, malah ibu bapa pengantin turut terkejut menjadikan suasana sedikit cemas dan kelam-kabut.
Bagaimanapun, tindakan Mohd Shahfizal itu dilakukan bagi membolehkannya
membalas ‘panggilan’ salah seorang ahli pertubuhan silat yang sedang
dalam pertunjukan ketika itu.
Dia dilihat mengambil tempat di lokasi pertunjukan silat bersama
beberapa ahli pertubuhan berkenaan sebelum mempamerkan kemahiran yang
dimiliki dalam seni mempertahankan diri tersebut.
Tindakannya mendapat perhatian pengunjung yang kemudian mengerumuni tempat pertunjukan bagi menyaksikan dengan lebih dekat.
Menurut Shahfizal yang juga Jurulatih Silat Lincah Malaysia, tindakan
itu dilakukan bagi ‘membalas’ pergerakan setelah dicabar anak buah yang
sedang membuat pertunjukan ketika itu.
Mohd Shahfizal berkata, dia terus memulakan langkah apabila dicabar anak buah yang sedang beraksi.
“Saya juga tidak menyangka akan turut serta membuat pertunjukan kerana
mengikut perancangan awal, hanya anak buah sahaja yang terlibat.
“Tetapi, secara tiba-tiba mereka ‘mencabar’ saya untuk turut serta dan
saya menyambut cabaran itu tanpa dirancang. Namun Alhamdulillah,
semuanya berjalan lancar akhirnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Nor Hasliza yang bekerja sebagai kerani di sebuah
syarikat swasta turut terkejut dengan tindakan suami yang secara
tiba-tiba meninggalkan kerusi pengantin untuk beraksi.
“Saya juga tidak menyangka suami akan membuat persembahan kerana dia pun tidak membuat sebarang persiapan,” katanya.