Karenah
sewaktu hamil juga kadangkala boleh mememningkan kepala. Kerap yang
berlaku adalah mengidam. Dalam keadaan ini, ahli keluarga yang terdekat
akan menjadi "mangsa" dan biasanya si suamilah. Seboleh-bolehnya suami
perlu memahami keadaan isteri dan bersedia mendapat apa yang dihajati
selagi ia tidak melanggar
syariat agama.
Mengidam
berlaku kerana perubahan hormon pada awal waktu mengandung., menjadikan
selera ibu menurun. Jadi pada ketika ini, ibu akan teringin untuk makan
apa yang terlintas dibenaknya. Mengidam juga dikaitkan dengan nafsu.
Adakalanya apa yang diidamkan itu bersalahan dengan syariat dan
keterlaluan, maka di sini ibu perlu banyak bersabar. Anggaplah ini
merupakan ujian Allah s.w.t kepada hambaNya yang akan bergelar seorang
ibu. Ibu-ibu perlulah bersabar, jangan terlalu mengikut nafsu.
Tabiat
terlalu mengikut hati ini akan memberi kesan kepada anak-anak apabila
dilahirkan kelak. Ibu yang sabar dan tabah akan melahirkan zuriat yang
tingi jatidirinya. Manakala sikap ibu yang terlalu "memanjakan" diri
dikhuatiri kelak anaknya menjadi "spoil".
Dalam
membicarakan tentang pantang larang dan adat istiadat sewaktu mengandung
ini, terdapat beberapa amalan yang masih dipraktikkan walaupun sudah
tidak banyak seperti dahulu. Sebagai contohnya seperti adat melenggang
perut untuk mengetahui jantina bayi. Buah kelapa akan diletakkan di atas
perut ibu, dan selepas itu kelapa itu dibiarkan jatuh. Sekiranya jatuh
ke kiri ibu itu dikatakan akan melahirkan anak lelaki dan sekiranya
jatuh ke kanan akan melahirkan anak perempuan.
Dalam
masyarakat Melayu terdapat beberapa pantang larang yang masih lagi
menjadi ikutan. Wanita-wanita hamil dilarang dari melakukan
perkara-perkara berikut:
-
Dilarang mencaci atau
mengumpat, membuat fitnah, iri hati juga bergaduh terutamanya dengan
ibu mertua. Perbuatan tersebut dipercayai akan mempengaruhi perangai
anak yang bakal lahir. Ibu mengandung juga akan mengalami kesulitan
semasa melahirkan anak. Yang sebenarnya, tujuannya larangan di sini
adalah untuk melahirkan rasa hormat kepada orang tua da selalunya ibu
mertua turut menjaga dan membantu sewaktu dalam pantang.
-
Dilarang memaku,
memahat dan menggali lubang. Tidak boleh memukul atau mencederakan
binatang kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang bakal lahir cacat
anggota badan.
-
Dilarang keluar rumah pada waktu petang atau senja kerana dikhuatiri hantu akan menggusiknya.
-
Hendaklah menjauhi
pergaulan dengan orang yang tidak jujur atau rendah maruahnya, kerana
dipercayai ini akan mempengaruhi perangai anak yang bakal lahir.
-
Dilarang melihat gerhana bulan ataupun matahari kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan cacat atau berkulit gelap.
-
Dilarang duduk di
anak tangga kerana dipercayai perbuatan ini akan mendatangkan kecelakaan
kepada ibu sewaktu hendak melahirkan anak.
-
Ibu juga dilarang
memikul batu kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lumpuh.
Tidak boleh menanam pokok pisang kerana dikatakan perbuatan ini boleh
menyebabkan anak berkepala besar yang luar biasa.
-
Ditegah menyusun tempurung kerana dikhuatiri anak yang dilahirkan akan botak kepalanya.
-
Ibu mengandung juga
tidak boleh membiarkan anak-anak melangkah perut kerana dikhuatiri anak
akan lahir cacat atau dilahirkan tidak cukup bulan. Dilarang tidur pada
waktu tengah hari kerana dikhuatiri kepala anak yang bakal lahir akan
menjadi besar.
Selain
pantang larang yang dinyatakan di atas terdapat beberapa pantang larang
lagi yang bersangkut dengan suami kepada ibu mengandung:
-
Suami kepada ibu
mengandung pula dilarang meniup seruling atau alat bunyi bunyian kerana
dikhuatiri anak yang akan dilahirkan sentiasa menangis.
-
Suami juga dilarang menyembelih ataupun pergi memburu binatang kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir cacat anggota badannya.
-
Suami juga dilarang
memukul, membunuh binatang seperti ular dan sebagainya kerana dipercayai
anak yang lahir akan cacat atau kenan binatang tersebut.
Sejauhmana
benar pantang larang ini. Namun apa yang penting di sini ialah sebagai
bakal ibu dan ayah, manusia perlu senantiasa menjaga sikap dan tingkah
laku, apatah lagi ketika hamil. Hanya kepada Allah s.w.t sahaja tempat
hambanya meminta dan memohon agar tiada bala bencana ke atas kita
sekeluarga InsyaAllah. Moga di anugerah anak yang comel lagi soleh.
Sekian.
sumber : http://www.mengandung.com/artikel/artikel06-05.html