D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

2 September 2010

Koleksi Jam Tangan Bernilai RM2.4 Juta


MUNGKIN ramai yang tidak sedar ataupun tidak pernah tahu akan kewujudan jam tangan berjenama A. Lange & Sohne dari negara kelahiran Adolf Hitler, Jerman berbanding jenama mewah lain.

Ini kerana jenama tersebut baru sahaja memasuki pasaran tempatan negara ini dan Singapura walaupun ia mula dipasarkan sebelum perang dunia kedua lagi.

Namun di kalangan penggemar jam tangan mewah, jenama ini adalah lambang prestij sementelah usianya saja telah mencecah 165 tahun.

Kematangan usia jam A. Lange & Sohne memberikan sentuhan berbeza dari segi reka bentuk dan kualiti yang boleh didapati dalam dua jenis model iaitu automatik dan manual.

Koleksi masterpieces

Bagi meraikan ulang tahun ke-165, syarikat pengeluaran jam itu turut memperkenalkan kepada orang ramai kepada satu set jam tangan koleksi masterpieces berharga RM2.4 juta.

Ia diperkenalkan sebagai tanda penghormatan buat pengasas industri pembuatan jam tangan Jerman iaitu mendiang Ferdinand A. Lange.

Kesemua siri model yang menembusi pasaran tempatan merupakan model yang sangat popular di seluruh dunia sejak dari tahun 1845 dan boleh didapati dari harga RM300,000 hingga ke RM2.4 juta.

Sesetengah orang mungkin merasakan jam keluaran jenama ini seperti ketinggalan zaman tetapi bahan aloi emas yang digunakan dalam pembuatannya menyerlahkan lagi ketampanan dan kelelakian setiap mereka yang memilikinya.

Selain itu, hasil pertukangan tangan yang teliti merupakan aset utama A. Lange & Sohne. Setiap model-model jam tangan tersebut dihasilkan secara teliti menggunakan tangan tanpa bantuan mesin moden dari suis ke sistem jam yang kompleks.

Dengan tangan juga mereka menghiasi bahagian-bahagian pergerakan berbentuk secara sekata dengan komponen-komponen kecil kurang daripada satu miligram.

Antara model terkini yang terdapat di pasaran tempatan ialah Lange Zeitwerk, 31, Moon Phase, Time Zone, Grand Saxonia, Datograph, Cabaret, Complications dan Tourbograph.

Menurut Pengarah Urusan Rantau Asia Pasifik A. Lange & Sohne , Frank Giacobini, oleh kerana kuasa beli yang tinggi terdapat di negara ini, syarikat pengeluarannya di Jerman percaya Malaysia bakal memperluaskan lagi promosi jenama A. Lange & Sohne.

"Malaysia merupakan sebuah negara pasaran utama kerana kebanyakkan pengumpul jam tangan berjenama mewah terbesar di dunia berada di negara ini," katanya.

Photobucket

Timbalan Presiden Eksekutifnya, Patrick Tan pula berkata, set trilogi jam tangan A. Lange & Sohne berharga RM2.4 juta hanya terhad kepada dua set sahaja.

"Jam tangan berharga RM2.4 juta ini terhad dan hanya terdapat dua set sahaja. Satu set disimpan di Malaysia manakala satu set lagi berada di Singapura.

"Oleh itu, kepada mereka yang berminat untuk melihat sendiri jam tersebut bolehlah mengunjungi kedai jam Sincere Watch di Pavillion dan juga Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC)," jelasnya.

Hak pengedaran jam tangan A. Lange & Sohne secara eksklusif juga dimiliki oleh Sincere Watch Ltd.


teks dan gambar dari utusan

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog