KUALA LUMPUR 30 Ogos - Gara-gara mencuri sembilan batang senduk hampir dua minggu lalu, seorang pengawal keselamatan dihukum penjara sehari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
K. Selvarajoo, 49, dijatuhi hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Azali Ibrahim.
Tertuduh juga boleh dihukum penjara tiga hari jika gagal membayar denda.
Lelaki itu mengaku mencuri sembilan batang senduk buatan Jepun bernilai RM128.20 di tingkat dua, Pasar Raya Jusco, MidValley, Brickfields di sini pada pukul 2.50 petang, 19 Ogos lalu.
Perbuatan tersebut menyebabkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa mengambil barang tersebut dan terus meluru keluar ke pintu utama. Bagaimanapun kejadian tersebut disedari oleh pekerja pasar raya tersebut.
Lelaki tersebut kemudian ditahan oleh pekerja berkenaan dan diminta untuk menunjukkan resit bayaran tetapi tertuduh gagal untuk berbuat demikian.
Selepas siasatan, tertuduh diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aizam Zamran manakala tertuduh diwakili peguam bela K.Kalavani.
teks dari utusan