PELAKON dan pengacara Nadzmi Adhwa, 25, akui gerun ketika kali pertama melihat senarai pelakon hebat yang membintangi filem Safari Mall arahan Jordan Suleiman.
Baru dua tahun bergelar anak seni, Nadzmi yang dipilih sebagai teraju utama berganding dengan Eyka Farhana merasakan tanggungjawab besar apabila bekerjasama dengan Bront Palare, Namron, Radhi Khalid dan Soffi Jikan yang turut berlakon dalam filem itu.
"Saya memang rasa cuak berlakon dengan mereka. Tambah pula saya masih baru dan terlalu banyak lagi perkara mengenai lakonan yang perlu saya perbetulkan.
"Kalau orang lain yang dengar pun rasa situasi itu mendebarkan inikan pula saya yang perlu berdepan dan berlakon dengan mereka sepanjang penggambaran.
"Namun, mereka melayan saya dengan baik malah tidak lokek berkongsi ilmu lakonan. Keadaan itu membuatkan saya selesa dan setiap hari teruja untuk ke lokasi," katanya.
Selepas berlakon dalam Langit Cinta, filem ini adalah filem kedua lakonannya tetapi kali pertama memegang watak utama.
Nadzmi sudah bersiap sedia dengan pandangan masyarakat apabila nama-nama hebat itu sekadar memegang watak pembantu manakala budak baru sepertinya diberikan tanggungjawab besar.
"Memang tekanan itu agak terasa kerana watak utama adalah individu yang sepatutnya akan menjadi perhatian penonton. Saya bekerja keras agar lakonan saya setara dengan pelakon lain.
"Mahu menjadi hebat seperti mereka bukannya mudah. Saya sendiri masih mengikuti kelas lakonan tetapi saya cuba yang terbaik agar lakonan saya tidak ketinggalan jauh dari mereka.
"Saya sedar, pasti persoalan akan timbul kenapa yang baru menjadi utama sedangkan pelakon pembantu lagi popular dan hebat untuk watak berkenaan. Tetapi, saya sudah bersiap sedia berhadapan dengan isu sedemikian," katanya.
Selain filem, Nadzmi juga sibuk dengan karier pengacaraan dan kini berganding dengan Fikry Ibrahim sebagai hos Jalan Jalan Makan Angin.