GEORGETOWN – “Saya rela dilokap ustaz. Saya tidak mahu suami saya tahu.
Kalau tidak pasti dia marah dengan saya,” rayu seorang wanita yang
ditahan kerana berkhalwat kepada Ketua Operasi dan Penguat kuasa Jabatan
Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Khairul Azman Azizan.
Wanita yang sudah 29 tahun berkahwin dan mempunyai tiga anak itu memberi
alasan sedemikian ketika Khairul Azman memberitahu perlu menghubungi
suaminya untuk ikat jamin.
Dia dan kekasihnya ditahan penguat kuasa Jaipp dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan, kelmarin.
Mereka tergamak menipu suami dan isteri masing-masing dan membayar sewa rumah tumpangan yang hanya bernilai RM40 semalam.
Ketika ditahan lelaki itu tidak memakai baju manakala wanita berkenaan hanya memakai kemeja-T dan kain batik.
Lelaki berusia 45 tahun dan sudah dua kali berkahwin itu mengakui
mengenali suami wanita berkenaan yang sama-sama bekerja sebagai pengutip
barangan lusuh.
Menurutnya, ia adalah kali pertama dia mula mengajak kekasihnya yang berusia 44 tahun itu ke rumah tumpangan.
“Saya kenal suami dia dahulu sebelum kenal dengan dia sejak setahun
lalu, tapi ini kali pertama saya ajak dia tidur di rumah tumpangan,”
katanya.
Lebih menyedihkan apabila lelaki yang pernah bercerai dan kemudiannya
berkahwin lain itu mempunyai isteri muda berusia 25 tahun yang kini
sedang hamil lapan bulan.
Sementara itu, wanita yang mempunyai tiga anak berusia antara 27 hingga
16 tahun itu mengakui tidak mempunyai masalah rumah tangga malah
suaminya juga bukan seorang yang panas baran.
“Ini kali pertama dan saya akui saya silap, saya memang silap,” katanya sambil mengesat air mata.
Khairul Azman kemudian bertanya bagaimana suami wanitu itu mengizinkannya keluar pada waktu tengah malam.
Wanita itu menjawab dia menggunakan alasan keluar bekerja.
“Jadi suami puan ada di rumah menjaga anak-anak. Kalaulah dia tahu puan
di luar dengan kawan dia sendiri, bagaimana perasaannya? Cuba puan
bayangkan jika suami puan sekarang berada di luar dengan perempuan lain.
Bagaimana rasanya.
“Kerana itulah kita sentiasa harus ingat dengan ungkapan Astaghfirullah,
Subhanallah, Allahuakbar,” kata Khairul Azman menasihati wanita itu
ketika berada di Pejabat Jaipp.
Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat yang boleh dikenakan
hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Dalam operasi bermula jam 10 malam hingga 7 pagi itu, seramai tiga lagi
ditahan mengikut Seksyen 27 sementara dua pasangan ditahan mengikut
Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang kerana
berkelakuan tidak sopan di tempat awam. Jika sabit kesalahan boleh
didenda RM1,000 atau penjara enam bulan.
Hadir sama dalam operasi berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Penguat kuasa Jaipp, Jaafar Ismail dan 14 penguat kuasa.