D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

30 April 2011

Shazryl Eskay sempurna sumpah laknat

Shazryl Eskay sempurna sumpah laknat


Shazryl Eskay ketika melafazkan sumpah laknat sambil ditemani Abdul Rahim Thamby Chik (kiri) dan Shuib Lazim di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ISMAIL KAMADIN


KUALA LUMPUR 29 April – Ahli Perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di sini bagi membuktikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pelaku di dalam rakaman video seks melibatkan seorang pelacur dipercayai dari China.

Sambil memegang kitab suci al-Quran, beliau berjaya menyempurnakan lafaz laknat kira-kira pukul 4.25 petang walaupun sebelum itu ada usaha daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi menghalang acara itu diadakan.

Ia berlangsung selama lima minit di hadapan wartawan, jurufoto, jurukamera dan beberapa penyokong PKR.

Sebelum acara lafaz sumpah itu berlangsung, seorang pendakwah bebas, Syamsul Firdaus Mohamed Supri sempat mengadakan ceramah ringkas di hadapan Shazryl Eskay mengenai kesan sumpah yang terpaksa ditanggung sehingga akhirat.

Dia juga turut mendakwa apa yang dilakukan oleh bekas rakan baik Anwar itu tidak ada di dalam syariat Islam.

Turut sama dua lagi trio Datuk T iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Sebelum acara lafaz sumpah bermula, ketiga-tiga mereka itu menunaikan sembahyang sunat di ruang solat masjid tersebut.

Mereka tiba di pekarangan masjid itu yang terletak di Bandar Baru Sentul kira-kira pukul 4.10 petang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Estima.

Bagi tujuan keselamatan, tiga sahabat itu telah dipakaikan baju kalis peluru selain diiringi oleh sepasukan anggota polis memasuki ruang masjid.

Antara kandungan lafaz sumpah Shazryl Eskay adalah seperti berikut: ‘‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang telah dirakamkan pada 21 Februari 2011 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut.

‘‘Sekiranya aku melakukan fitnah dalam kenyataan bersumpah ini maka Allah akan melaknat akan diriku.’’

Semalam pada satu sidang akhbar, Shazryl Eskay mencabar Anwar melakukan sumpah laknat bersama tetapi sehingga pukul 5 petang ini kelibat Anwar langsung tidak kelihatan.

Dalam pada itu, acara lafaz sumpah laknat yang sepatutnya diadakan sejurus selepas solat Jumaat terpaksa ditangguhkan ekoran berlaku kekecohan yang dicetuskan oleh sekumpulan penyokong PKR yang diketuai Shamsul Iskandar Mat Akin.

Kekecohan bermula apabila ada di antara mereka menyerbu ke arah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali untuk diserahkan sebuah buku bertajuk Qazaf menjawab fitnah.

Ia kemudian berlanjutan sehingga satu peringkat berlaku tolak-menolak antara dua kumpulan di dalam ruang solat sehingga keadaan menjadi kelam-kabut.

Masing-masing mahu menunjukkan ‘kehebatan’ hingga sanggup melakukan sesuatu yang boleh dianggap mencemar kesucian masjid.

Di dalam masjid itu mereka menjerit-jerit meminta Trio Datuk T itu ditahan hingga menyebabkan Pengerusi masjid tersebut, Abdul Razak Husin menaiki mimbar untuk menenangkan keadaan.

‘‘Saya telah diberitahu bahawa program yang dirancang petang ini terpaksa dibatalkan,’’ ujarnya bagi tujuan menyuraikan para penyokong Anwar.


petikan dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog