SAYA tidak gemar dengan kehadiran bulu di dada dan perut saya. Bolehkan doktor cadangkan cara sesuai untuk menghilangkannya atau ada ubat tertentu di pasaran yang dapat membantu menyelesaikan masalah saya?
WAN
Melaka
Anda lelaki sihat yang menjalani proses akil baligh, yang mana sebahagian daripada perubahan itu ialah peningkatan tahap hormon testosterone yang mencetuskan proses akil baligh itu.
Hormon ini yang memberi ciri dan semangat kelelakian, termasuk ketumbesaran otot badan, kemunculan bulu roma di bahagian tubuh badan yang biasa untuk lelaki seperti janggut, misai, bulu dada, bulu anggota kelamin, bulu ketiak dan ketumbesaran anggota kelamin.
Anda nyatakan anda lelaki sihat, oleh itu perubahan yang berlaku membuatkan anda kacak dan sihat sebagai lelaki.
Bagaimanapun, segelintir lelaki mempunyai ketumbuhan bulu roma yang luar biasa lebatnya. Keadaan ini dikenali sebagai hipertrikosis.
Bulu roma yang biasanya tidak begitu lebat dan halus di bahagian belakang dan perut, menjadi lebat dan membuatkan lelaki itu kelihatan seperti ‘siamang’! Mungkin tidak seteruk itu tapi memandangkan anda berasa kurang selesa, saya fikir mungkin keadaan anda begitu agaknya.
Jika tidak iaitu bulu roma yang ada kelihatan lebat tetapi teratur dan tidak berselerak, itu dianggap biasa, lebih-lebih lagi jika kebetulan anda mempunyai baka atau keturunan berbulu roma lebat.
Bulu roma yang lebat di tubuh badan lelaki biasanya dianggap ‘macho’ kerana keadaan itu pernah ditayangkan oleh pelakon Inggeris, Sean Connery dalam filem James Bond 007, Dr No.
Pada masa itu dan mungkin kini juga wanita menganggap bulu roma di badan lelaki sesuatu yang mengghairahkan. Bagaimanapun, jika anda masih kurang senang dengan bulu roma itu, anda boleh menanggalkannya dengan mencukur atau mencabutnya menggunakan krim ‘depilatori’. Teknik lain seperti terapi laser mahal dan mungkin kena dilakukan beberapa kali.
Fikirkan mengenai apa yang saya nyatakan mengenai keterampilan ‘macho’ itu. Jika pasangan wanita anda juga tidak suka, jangan tunggu lagi, cukur terus.
tesk dari mymetro