D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

19 Mac 2015

TEKNIK DAN KAEDAH CEGAH KEHAMILAN

Apakah jenis pencegah kehamilan yang boleh saya gunakan jika saya masih menyusukan bayi?

Anda boleh gunakan kaedah-kaedah pencegah kehamilan berikut ketika anda masih menyusukan bayi:
  • kondom untuk lelaki atau wanita;
  • diafragma atau penutup serviks;
  • pil mini;
  • suntikan;
  • implan;
  • sistem intrauterine (yang bermaksud “di dalam rahim”) atau IUS;
  • alat intrauterine (IUD).
Kondom
Kondom adalah kaedah yang paling mudah digunakan, samada anda masih menyusu badan ataupun tidak. Kondom untuk wanita diletakkan di dalam faraj dan di sekeliling bahagian luar labia. Kondom untuk wanita mungkin tidak begitu menyelesakan berbanding kondom untuk lelaki.

Jika digunakan dengan betul, kondom untuk lelaki adalah 98 peratus berkesan dan kondom untuk wanita 95 peratus berkesan.

Anda mungkin dapati faraj anda sedikit kering sejak bersalin. Jika anda mahu bersama suami tetapi rasa kurang selesa kerana kekeringan, cuba gunakan jeli pelincir. Jeli ini haruslah larut air supaya ia tidak merosakkan kondom.

Diafragma dan penutup serviks
Anda boleh guna diafragma atau penutup serviks setiap kami mahu bersama suami. Diafragma dan penutup serviks adalah getah atau silikon lembut berbentuk bulat yang muat dalam serviks.

Doktor atau jururawat boleh memuatkan diafragma atau penutup serviks anda (atau memuatkan semula, jika anda pernah menggunakannya sebelum ini) enam minggu selepas bersalin. Ketika itu, badan biasanya telah kembali ke bentuk sebelum hamil. Diafragma dan penutup adalah di antara 92 peratus dan 96 peratus berkesan, selagi ia diguna dengan betul dan dengan pembasmi sperma.

Pil mini
Anda boleh guna pil mini jika anda masih menyusukan bayi kerana ia tidak mengganggu bekalan susu anda. Anda boleh mula mengambilnya 21 hari selepas bersalin.

Pil mini juga dikenali sebagai pil progestin (progestogen-only pill – POP). Ia menggunakan versi sintetik hormon progesteron.

Pil mini adalah lebih daripada 99 peratus berkesan. Namun untuk ia memberi kesan seperti ini, anda perlu mengambilnya pada waktu yang sama setiap hari. Ini boleh jadi sukar jika anda sibuk menjaga bayi yang baru lahir.

Suntikan
Suntikan berkesan selama beberapa minggu. Terdapat dua jenis suntikan:
  • Depo-Provera, yang berkesan selama 12 minggu
  • Noristerat, yang berkesan selama lapan minggu
Jika anda masih menyusu badan, sebahagian kecil progestogen akan masuk ke dalam badan bayi. Ini tidak akan membahayakan bayi anda.

Adalah lebih baik untuk menunggu sehingga enam minggu selepas bersalin sebelum mula mengambil suntikan. Ini bagi mengurangkan kemungkinan haid anda jadi tidak menentu dan darah keluar dengan banyak. Masalah pendarahan adalah salah satu keburukan kaedah ini.

Jika doktor anda tidak dapat memberi anda suntikan ini, beliau boleh memberitahu anda di mana anda boleh memperolehinya. Suntikan ini membebaskan progestogen ke dalam otot anda selama beberapa minggu.

Kaedah suntikan semaking popular kebelakangan ini kerana keberkesanannya yang tinggi (lebih daripada 99 peratus) dan mudah dilakukan. Tetapi jika anda mahu hamil lagi dengan segera selepas berhenti menggunakan pencegah kehamilan, kaedah ini mungkin tidak sesuai untuk anda. Ini kerana, kesuburan anda akan mengambil masa beberapa bulan untuk kembali normal.

Implan
Kaedah implan kekal selama tiga tahun, jadi anda perlu fikir masak-masak samada ini adalah kaedah yang sesuai untuk anda. Dalam kaedah implan, Nexplanon yang berupa tiub plastik fleksibel yang kecil dan nipis bersaiz kira-kira 4cm panjang dan berdiameter 2mm akan dimasukkan ke bawah lengan. Tiub ini mengandungi progestogen.

Anda boleh mengambil implan 21 hari selepas bersalin. Anda masih boleh menyusu badan kerana hanya sedikit sahaja progestogen yang masuk ke dalam susu anda.

Doktor akan memasukkan implan ini ke bawah lengan anda. Ia boleh dikeluarkan apabila anda mengambil keputusan untuk menukar kaedah mencegah kehamilan atau apabila anda mahu cuba untuk hamil lagi. Kaedah implan berkesan lebih daripada 99 peratus.

Sistem intrauterin
Sistem intrauterin (IUS) ialah implan yang dimasukkan ke dalam rahim (uterus). Ia membebaskan sedikit dos progestogen secara berterusan selama hingga lima tahun.

Anda boleh menggunakan IUS pada bila-bila masa bermula empat minggu selepas bersalin. Doktor atau jururawat akan menjalankan prosedur ini. Anda boleh menggunakan IUS samada anda bersalin secara normal atau caesarean. IUS adalah lebih daripada 99 peratus berkesan.

Alat intrauterin
Alat intrauterin (intrauterine device) atau IUD boleh digunakan selama tiga hingga 10 tahun, bergantung kepada jenis yang digunakan.

Anda boleh mula menggunakan IUD pada bila-bila masa daripada empat minggu selepas bersalin. Doktor atau jururawat akan memasangnya untuk anda. Anda boleh menggunakan IUD samada anda bersalin secara normal atau caesarean. Keberkesanan IUD adalah lebih daripada 99 peratus.

Apakah jenis pencegah kehamilan yang tidak boleh saya gunakan jika saya menyusu badan?

Anda tidak boleh guna kaedah pencegah kehamilan yang menggunakan gabungan hormon estrogen dan progesteron (CHC) kerana ini boleh mengurangkan bekalan susu anda. Jenis pencegah kehamilan seperti ini termasuk:
  • pil
  • tampalan, berupa plaster yang ditampal pada kulit
  • cincin, iaitu cincin plastik fleksibel yang dimasukkan ke dalam faraj
Tidak kira CHC mana yang anda guna, pada minggu keempat selepas anda mula menggunakannya anda akan mengalami pendarahan yang biasanya ringan sedikit daripada haid biasa anda. CHC adalah lebih daripada 99 peratus berkesan jika digunakan dengan betul.

Jika anda ambil pil pencegah kehamilan kecemasan, anda tidak akan dapat menyusukan bayi selama 36 jam selepas mengambilnya. Bacalah “Bagaimana dengan pencegah kehamilan kecemasan” di bawah untuk maklumat lanjut.

Saya mahukan jenis pencegah kehamilan yang tetap berkesan walaupun saya terlupa. Apakah kaedah yang terbaik bagi saya?

Jika anda mahukan pencegah kehamilan yang anda boleh lupakan sahaja, jenis yang berkesan lama mungkin sesuai untuk anda. Terdapat empat jenis kaedah seperti ini (lihat di atas untuk penerangannya):
  • suntikan
  • implan
  • sistem intrauterin (bermaksud dalam rahim) atau IUS
  • alat intrauterin (IUD)
Suntikan, implan dan IUS kesemuanya menggunakan progestogen, iaitu versi sintetik hormon progesteron. IUD pula tidak menggunakan hormon.

Jika anda betul-betul yakin anda tidak mahu anak lagi, anda atau suami boleh memilih kaedah pemandulan.

Berapa cepat selepas bersalin boleh saya gunakan kaedah perancang keluarga semula jadi?

Sebaik sahaja haid anda telah kembali dan tetap semula, anda boleh cuba guna kaedah perancang keluarga semula jadi (natural family planning – NFP). Dengan NFP, anda belajar untuk mengenal pasti hari-hari subur anda. Kemudian anda boleh mengelak daripada membuat hubungan kelamin, atau menggunakan kondom pada dan sekitar hari-hari subur anda.

Untuk mengetahui bila anda subur, anda perlu menyimpan carta suhu badan harian apabila anda bangun tidur pada waktu pagi atau selepas sekurang-kurangnya tiga jam tidur. Ini dipanggil suhu badan asas. Anda juga perlu memerhatikan perubahan mukus faraj anda.

Anda boleh beli termometer berkomputer untuk membantu anda mengenal pasti bila anda subur. Anda juga boleh beli alat pemantau kesuburan. Namun anda perlu menunggu sehingga selepas tiga kali haid normal sebelum menggunakan alat-alat ini.

NFP mungkin bukan kaedah yang boleh dipercayai jika anda mempunyai masalah haid yang tidak menentu. Jika anda tidak mempunyai masalah ini, dan selagi anda berhati-hati, NFP boleh jadi sehingga 99 peratus berkesan.

Bagaimana dengan pencegah kehamilan kecemasan?

Kebanyakan klinik dan doktor kini boleh memberi pil kecemasan atau yang dikenali sebagai “morning after pill” untuk mengelak kehamilan sekiranya berlaku “kemalangan” seperti kondom yang digunakan terkoyak. Pil ini perlu diambil dalam masa 72 jam selepas mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan.

Jenama pil yang terdapat di Malaysia ialah Postinor, iaitu  pil progestin dalam dos tinggi. Pil ini menghentikan atau melambatkan ovulasi, dan menghalang telur yang tersenyawa daripada melekat (implantasi).

Pil pencegah kehamilan kecemasan ini berkesan sehingga 72 jam (tiga hari) daripada waktu anda mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan. Walau bagaimanapun, ia lebih berkesan jika anda mengambilnya dalam masa 24 jam. Ia juga boleh diambil jika anda menyusu badan.

Anda juga boleh menggunakan IUD, tetapi ini perlu dilakukan dalam masa lima hari selepas seks dan ianya jarang digunakan sebagai pencegah kehamilan kecemasan pada hari ini.

BACA LAGI DISINI

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog