Masalah anggota kelamin seseorang bayi juga boleh terencat disebabkan faktor tertentu dan jika ia berlaku, ia dikenali sebagai Hipospadias dan Chordee.
Jika anda mendapati bayi dilahirkan lelaki dan kebetulan anggota kelaminnya bermasalah seperti salur kencing terbuka di bawah kepala zakar, ia dikenali sebagai Hipospadias, manakala jika penghujung zakar melengkung ke bawah, ia dikenali sebagai Chordee.
Jika masalah ini berlaku, saya pasti ramai akan beranggapan anak dilahirkan mengalami masalah kecelaruan jantina. Namun, jangan cepat melatah kerana jika masalah ini terjadi, doktor bertanggungjawab pasti melakukan pelbagai ujian bagi menentukan jantina anak anda.
Antara ujian dilakukan doktor jika berlaku kekeliruan terhadap jantina seseorang bayi ialah ujian baka bagi menentukan gen XX untuk perempuan atau XY bagi lelaki.
Bagaimanapun, ada juga kes seorang bayi dilahirkan mempunyai dua jantina dan dipanggil intersex atau khunsa. Keadaan ini juga boleh dikenal pasti melalui ujian penentuan baka.
Masalah ini sering dikaitkan dengan masalah jantina. Namun, menentukan jantina anak yang mempunyai dua jantina adalah rumit.
Kemungkinan besar, jantina bayi bermasalah seperti ini dapat dikenal pasti apabila mereka meningkat dewasa.
Walaupun kebanyakan kanak-kanak akan tahu mengenai jantinanya, proses pengenalan diri dan jantina atau orientasi seksual adalah proses dinamik dan rumit.
Kesedaran itu juga lebih mantap apabila kanak-kanak itu mencapai usia akhil baligh dan mula memahami jiwanya. Jadi sebagai ibu bapa yang mengasuh anak, anda dapat memerhatikan perubahan perwatakan dan tingkah lakunya secara dekat dan jika ada yang meragukan, anda boleh rujuk kepada pakar.
Masalah ini tidak harus dipandang remeh. Jika ia berlaku kepada anda, saya sarankan anda mendengar dan mendapatkan bantuan pakar.
sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anak2jantina/Article/index_html