D

https://bob0195992492.blogspot.com/2020/10/beg-celoreng.html?m=1

27 Januari 2012

BIODATA DATO’ DR HASAN MOHD ALI


BIODATA DATO’ DR HASAN MOHD ALI
Dato' Dr Hasan Hj Mohd Ali dilahirkan di Klang, Selangor Darul Ehsan pada 28hb November, 1947. Beliau mendapat ijazah pertama dari Universiti Malaya 1970/71, Ijazah Sarjana dari University of Pittsburgh, USA 1975 dan PhD dari University of Wisconsin, USA 1985.

Dato' Dr Hasan pernah berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik selama hampir 20 tahun. Beliau telah menjawat berbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Persekutuan. Antara jawatan yang pernah disandang termasuklah:

Penolong Setiausaha di Bahagian Kabinet, JPM;
Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor,
Ketua Penolong Setiausaha (Perkhidmatan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;
Ketua Penolong Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Malaysia, JPM;
Ketua Penolong Pengarah (Unit Perancangan) Kementerian Tanah;
Ketua Pusat Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan
Timbalan Ketua Pengarah Biro Tatanegara, JPM.
Timbalan Ketua Pengarah, Unit Penyelidikan Sosio-Ekonomi, JPM.
Beliau telah meletakkan jawatan di dalam perkhidmatan Kerajaan pada tahun 1985 dan sekarang ini mengetuai Sabha Group Sdn Bhd (SGSB) dan Akademi Keluarga Bahagia Malaysia (AKRAB).

Melalui anak syarikat Sabha Total Training Centre, Dato' Dr Hasan bersama lain-lain tenaga profesionalnya terlibat mengendalikan program-program latih-luar korporat kepada hampir 200 badan-badan korporat yang bertapak di dalam dan di luar negara. Latihan yang diberi menekankan aspek pembinaan sikap positif untuk menjadi tenaga kerja yang lebih berdedikasi, berketrampilan dan bertaraf dunia.

Melalui anak syarikat Sabha Ambang HRD Sdn Bhd, Dato’ Dr Hasan mengendalikan program-program latihan kemahiran korporat. Di antara program itu termasuklah pengurusan strategik, kepimpinan korporat, kualiti dan produktiviti, pengurusan kepemimpinan dan sebagainya. Program-program ini biasanya dikendalikan secara 'in-house' di tempat pilihan agensi berkenaan.

Melalui AKRAB (Akademi Keluarga Bahagia Malaysia), Dato' Dr Hasan menganjurkan program-program pendidikan keluarga, pendidikan kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah, pendidikan keremajaan dan sebagainya. Dato' Dr Hasan merupakan pelopor dan perintis kepada gerakan kesejahteraan keluarga di Malaysia. Program "Summer Camp", "Smart Learning", Ibubapa Cemerlang Anak Gemilang adalah diantara program perintis yang kini masih segar dan terus diminati oleh masyarakat Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan Selatan Thailand.

Dibidang penulisan, Dato' Dr Hasan telah menulis lebih daripada 30 tajuk buku, ratusan bahan audio visual yang sebahagian besamya menggariskan tatacara memantapkan institusi keluarga dan pemupukan budaya cemerlang di kalangan ahli keluarga. Ribuan peserta dari segenap lapisan umur bertaburan di seluruh negara telah dan sedang memberi sambutan hangat kepada program Dato' Dr Hasan. Sesungguhnya Dato' Dr Hasan telah membuka satu lembaran baru dalam bidang kesejahteraan keluarga di rantau ini .

Dato' Dr Hasan telah diberi peluang buat sekian lamanya menyertai beberapa program terbitan TV kerajaan dan swasta. Penglibatan beliau kebanyakannya sebagai konsultan dan ahli panel rancangan-rancangan TV seperti MHI, RSB, Nona, Majalah 3 (TV3); SPM, Minda, Forum Perdana Ehwal Islam (RTM). Bersama-sama dengan tenaga professional yang lain, Dato' Dr Hasan telah berjaya melonjakkan program agama dan program-program 'talk-show' menjadi program yang sangat diminati oleh masyarakat Malaysia. Kepopularan Dato' Dr Hasan merentasi sempadan negara dalam mana beliau juga sering menjadi tetamu undangan program pendidikan kemasyarakatan dan kekeluargaan serta motivasi kecemerlangan di TV Singapura dan Brunei Darussalam.


sumber dari http://biodata-tokoh.blogspot.com/2009/09/exco-kontroversi-hasan-mohd-ali-pkfz.html

daN http://ms.wikipedia.org/wiki/Hasan_Mohd_Ali

SUDU

https://bob0195992492.blogspot.com/2021/01/rm35-set-sudu-bercop-1945.html

Arkib Blog