Saya pernah mendapatkan pemeriksaan imbasan dari klinik berhampiran tahun lalu dan doktor meletakkan saya pada peringkat keempat amenorea primer.
Saya juga mengalami masalah migrain dan kesakitan di bahagian tulang belakang, tapak kaki dan sengal pada jejari. Kadangkala pada bahagian ari-ari saya juga mengalami kesakitan seperti bengkak dalam tempoh dua atau tiga bulan sekali.
Saya dinasihatkan doktor untuk berjumpa pakar selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu. Saya sangat perlukan pandangan doktor.
Apakah rawatan yang perlu saya lakukan? Adakah saya mengalami masalah lain dan mampukah saya mempunyai zuriat pada masa akan datang? Adakah saya harus terus membuat pemeriksaan di hospital?
NUR ANGIN PILU,
Kuala Lumpur.
SAYA tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan peringkat keempat. Anda dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan pakar sakit puan tanpa menunggu lebih lama. Bengkak atau sakit ari-ari yang dialami mungkin ada kaitan dengan salah satu punca amenorea primer. Ini mudah dirawat, namun boleh mendatangkan masalah dalaman jika dibiarkan lebih lama.
Pemeriksaan fizikal mudah ke atas ciri-ciri seksual sekunder dapat membantu doktor menjurus kemungkinan masalah ketiadaan haid anda. Ujian ultrabunyi pelvis bagi mengesan kehadiran rahim (dan ciri ovari), ujian ultrabunyi kawasan abdomen atau kelenjar adrenal, ujian darah hormon misalnya profil tiroid dan ujian kromosom akan dilakukan mengikut keperluan.