SAYA berusia 24 tahun dan bekerja di syarikat yang teguh di Malaysia. Saya sering bertugas luar daerah. Dipendekkan cerita, Disember lalu, saya bertugas di Johor. Ketika di sana, saya bertemu seorang gadis yang bekerja di kedai alat tulis.
Wajahnya yang lembut dan tutur kata sopan membuatkan saya terpikat untuk mendekatinya. Saya tekad berkenalan dengan gadis itu dengan mengunjungi kedai terbabit.
Selepas seminggu berhubung, saya mulai terpikat dengan sikap lemah lembutnya dan mahu dia menjadi kekasih saya. Kami menjalin hubungan jarak jauh disebabkan kerja saya.
Usia saya yang masih muda dan mempunyai kerjaya tetap membuatkan dia yakin pada saya. Kami menaruh harapan hubungan itu berlanjutan sehingga ke alam perkahwinan.
Jarak usia lebih kurang empat tahun membuatkan kami mudah serasi. Saya makin sayang dan mencintainya sepenuh hati dan berjanji menerima dia seadanya. Semakin hari, semakin banyak dia ceritakan mengenai kisah hidupnya.
Saya banyak bertanya mengenai kisah silamnya, dan pada satu hari, hati saya terasa umpama dicincang, pedihnya tidak terkata. Dia mengaku dirogol oleh kekasihnya ketika di tingkatan dua.
Sungguhpun tidak rela, umur semuda itu membuatkan dia hanya mampu mengikut kehendak kekasihnya. Tidak lama kemudian kekasihnya melanjutkan pelajaran di tempat lain.
Ketiadaan kekasihnya membuat dia ketagih melakukan seks dan ketika berada di tingkatan tiga, dia mula mengikut ramai lelaki untuk bersama.
Saya sukar mempercayai ceritanya itu. Ketika ditanya berapa ramai, dia menjawab lebih 20 lelaki pernah ‘menjamah’ tubuhnya.
Malah, ada orang memanggilnya ‘bohsia’. Pedih hati mendengarnya. Tidak sangka, di sebalik wajah sopan dan ayu terpalit seribu kehitaman.
Dia berjanji akan berubah jika saya tidak meninggalkannya. Saya terfikir untuk tidak berhubung dengan dia lagi tapi saya bimbang dia kembali ke kehidupan lama.
Jujur saya katakan, tiada lagi rasa cinta dalam hati saya padanya. Yang ada hanya simpati. Patutkah saya terus tinggalkan dia saja?
ZIFF
Johor BahruSiapa mahu menerima buah sudah ditebuk tupai, andai punya pilihan lebih baik. Itu yang Dang Setia sedari apabila saudara meluahkan tawar hati dengan teman wanita sebaik mengetahui sisi hitamnya yang terbabas jauh.
Disebabkan sejarah hitam di mana dia pernah dirogol, teman wanita memilih jalan terjerumus lebih jauh sehingga menjalin hubungan dengan puluhan lelaki, membuatkan saudara seakan-akan ‘terpedaya’ dengan penampilannya yang ayu dan sopan.
Bagi Dang Setia, saudara perlu berterus terang mengenai apa yang saudara rasai sekarang sebelum hubungan cinta berlanjutan lebih jauh dan si dia menyimpan harapan menggunung terhadap hubungan cinta dia dan saudara.
Tambahan pula, saudara pernah menyatakan kesediaan mengakhiri hubungan hingga ke alam perkahwinan, jadi semestinya si dia menyimpan angan-angan bergelar suri dan keadaan bertambah sukar jika saudara lebih mengambil sikap berdiam serta menghilang.
Keputusan diambil saudara perlu jelas dan tekad. Andainya saudara tidak dapat menerima dirinya, berterus terang kepadanya. Jangan bermain tarik tali dan memberi harapan, sedangkan saudara mahu meninggalkannya.
Berlengah-lengah serta terus berdamping dengannya atas rasa simpati hanya mendera pasangan kerana saudara tidak sepenuhnya menyayangi. Jika hubungan berlanjutan ke gerbang perkahwinan, dikhuatiri saudara gagal memikul tanggungjawab sebagai suami.
Andai si dia tidak dapat menerima, katakan bahawa saudara tidak dapat menerima perkara berkenaan dan dia perlu berubah meskipun saudara kini bukan teman lelakinya.
Tindakan terus ‘menggauli’ lelaki lain hanya merosakkan dirinya. Dia perlu berubah supaya mempunyai kehidupan lebih baik dan tidak semestinya berubah sebaik menjalin hubungan dengan saudara.
Satu perkara mengenai diri teman wanita saudara yang Dang Setia kurang pasti ialah kekuatan dirinya untuk berubah atas kesedaran diri.
Seharusnya, perubahan ke arah kebaikan perlu daripada inisiatif sendiri dan bukan atas sebab tertentu kerana Dang Setia bimbang si dia bakal mengulanginya tanpa penuh sesalan.
Tidak dinafikan lelaki berkahwin perlu mencari isteri baik supaya keharmonian rumah tangga berkekalan. Sebagaimana firman Allah dalam surah Nur ayat 24 yang bermaksud:
“Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.”
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kekasihtidurilebih20lelaki/Article/index_html