Mohd. yang merupakan protege pilihan Ziana daripada beribu yang mencuba nasib asalnya bukanlah pilihan pertama penyanyi bersuara lantang itu.
Hadirnya Mohd. atau nama sebenarnya Mohd. Izwan Mohd. Nor, 22, sebagai menggantikan protege asal Ziana iaitu Ketty Natalia Rasul atau Thalia yang disingkirkan oleh Ziana sendiri.
Malah, Mohd. pada asalnya menjalani uji bakat di Johor Bahru, Johor bukan untuk Ziana tetapi untuk menjadi protege Mas Idayu.
Walaupun bukanlah pilihan pertama Ziana, namun tuah menyebelahi jejaka berasal dari Johor Bahru ini apabila dia menjuarai rancangan Mentor musim keempat baru-baru ini.
Bukan sahaja bersandarkan kepada bakat dan pakej yang ada, ramai yang mengatakan populariti Ziana juga punca Mohd. berjaya diangkat sampai sebagai juara.
Mentor yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Ahad lalu menyaksikan Mohd. membawa pulang wang tunai RM100,000, kontrak artis rakaman Monkey Bone Records berserta trofi.
Bukan itu sahaja, mentornya Ziana juga tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya turut menerima wang tunai RM100,000.
Mendapat 71 markah keseluruhan, Mohd. berjaya mengetepikan Adi dan Nani yang terpaksa akur dengan keputusan yang meletakkan masing-masing sebagai naib johan dan di tempat ketiga.
Naib johan membawa pulang RM30,000 beserta trofi sementara tempat ketiga pula mendapat RM10,000 serta trofi.
Akui Ziana, dirinya yang sudah lama di dalam industri seni sedikit sebanyak ada mempengaruhi orang ramai untuk melihat kelebihan anak didiknya itu namun bukanlah sebab utama.
"Mungkin adalah sedikit pengaruh saya sebagai Mentor, tetapi kena ingat markah yang diberikan oleh juri profesional lebih tinggi iaitu sebanyak 50 peratus.
"Walaupun ada yang kata undian SMS Mohd. mungkin banyak tetapi jika markah yang diberikan oleh juri profesional tidak banyak, tetap tidak akan menang.
"Bagi saya walau macam mana bagus atau berpengaruhnya mentor itu, tetapi kalau protege itu sendiri tidak elok, tetap tidak akan ke mana.
"Ini rezeki Mohd. Penyokong saya dan Mohd. yakin dengan kebolehan serta usahanya lalu mengundi dia dan saya cuba beri yang terbaik dengan membantunya," ujar Ziana.
Mendapat 71 markah keseluruhan, Mohd. berjaya mengetepikan Adi dan Nani yang terpaksa akur dengan keputusan yang meletakkan masing-masing sebagai naib johan dan di tempat ketiga.
Mohd. memberikan persembahan yang tidak mengecewakan menerusi lagu ciptaan Aswandy dan Sham Kamikaze berjudul Cinta, Tragedi Oktober serta Itu Kami.
Dia juga berjaya memukau penonton menerusi duet dengan Fiq untuk lagu Tiga Malam Tanpa Bintang dan Bujang Senang.
Rencananya, dia berniat untuk membawa kedua orang tuanya menunaikan umrah menggunakan duit hasil kemenangannya apabila memenangi pertandingan ini.
Dia juga ada memasang angan-angan untuk membuka sebuah restoran hasil daripada kemenangannya itu.
Cerita Mohd. yang terkenal dengan kelurusan perangainya ini, dia tidak pernah sangka akan berada sampai ke tahap itu dan amat bersyukur dengan pencapaiannya.
"Sepanjang empat bulan berada di bawah didikan mentor saya, banyak yang saya pelajari dan banyak perubahan terjadi kepada saya.
"Jika dahulu saya seorang yang pemalu dan sentiasa gemuruh tetapi kini Alhamdulillah saya semakin baik malah dari segi teknik nyanyian dan persembahan atas tunjuk ajar Kak Ziana.
"Banyak yang saya tidak pelajari lagi sebenarnya. Tiga empat tahun menyanyi pun belum tentu hebat inikan pula saya yang baru tiga empat bulan menyanyi.
"Bagaimanapun saya tetap perlu sedia sebaik sahaja melangkah ke dunia hiburan ini dan saya berterima kasih kepada Kak Ziana yang banyak membantu mempersiapkan saya," ujar Mohd. yang menggemari corak persembahan Faizal Tahir.
tesk dari utusan