POPULAR menerusi lagu Tiada Lagi Kidungmu, Ku Di Halaman Rindu serta Seruan, Lefthanded yang ditubuhkan di Johor Bahru, Johor pada 1979 kini sudah pun berusia 30 tahun.
Muncul dengan album sulung berjudul Keadilan pada 1986, kehebatan Lefthanded dalam arena muzik rock tempatan memang tidak dapat disangkal lagi.
Ketika era itu, Lefthanded melakar sejarah apabila Keadilan berjaya mencatat jualan melebihi 60,000 unit.
Bertambah unggul, kumpulan yang dianggotai Man Kidal, Allahyarham Samad, Nash, Man Dayak dan Yan itu juga pernah mendapat pengiktirafan tertinggi apabila album Nafas diangkat sebagai album rock terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-4 pada 1997.
Menghasilkan lebih lima buah album antaranya Keadilan (1986), Seruan (1987), Qabul (1988), Evolusi (1989), Fanatisme (1990), Nafas (1996) dan Reunion 1 - Koleksi Unggul (2003), di awal penubuhannya, Lefthanded pernah dianggotai penyanyi Rahim Maarof dan Roy (Rauzan Alwi) selaku vokalis.
Selain Nash, penyanyi dan komposer terkenal iaitu Arab dan Ramli Sarip juga masing-masing pernah menyertai Lefthanded menerusi album Nafas dan Fanatisme.
Namun, dalam mengharungi persada muzik tanah air, Lefthanded tidak terlepas daripada dilanda dilema apabila beberapa kali tidak bergerak aktif dengan masing-masing membuat haluan sendiri.
Nash mengambil keputusan untuk muncul secara solo, sementara pemain drumnya Man Dayak pula bersara seketika kerana ingin memberikan perhatian kepada perniagaannya.
Anggota lain pula seperti Man Kidal (pemain gitar utama) dan Yan (pemain bass) meneruskan perjuangan muzik mereka dengan cara tersendiri.
Bagaimanapun, atas dasar cinta kepada muzik dan persaudaraan yang telah lama wujud di kalangan mereka, Lefthanded bakal bergabung kembali untuk menjayakan sebuah konsert iaitu Konsert Rock Lefthanded & Kawan-Kawan.
sumber : utusan