Tatkala Ramadhan menjelang tiba, sudah
pasti setiap ibu yang menyusukan anak melahirkan kebimbangan di hati.
Bukan tidak mampu untuk menunaikan ibadah yang tercatit dalam Rukun
Islam tetapi kegusaran mengenangkan bagaimana untuk menyusukan bayi
sedangkan diri terikat dengan ibadah puasa. Yang dikhuatirkan ialah
pengeluaran susu ibu semakin berkurang dan ibu tidak dapat menyesuaikan
diri dalam keadaan berpuasa. Itulah stigma yang seringkali kita dengar
bahkan seringkali disogokkan oleh kebanyakan orang.
Dalam Islam, setiap ibu yang menyusukan
ataupun hamil dibolehkan berbuka puasa sebagai satu bentuk keringanan
yang ditawarkan. Tetapi perlu ada sebab mengapa diberikan pilihan untuk
berbuka kerana ia mempengaruhi cara penggantian hari berpuasa yang
ditinggalkan. Sebab itulah, setiap wanita yang menyusukan bayi ataupun
hamil perlu memahami perkara- perkara yang bersangkutan dengan
pengurusan berpuasa iaitu bila keharusan untuk berbuka dan kesannya dari
segi qadha' dan fidyah.
Namun, dengan kajian- kajian yang
dilakukan oleh ramai penyelidik, berpuasa tidak mendatangkan kemudaratan
terhadap ibu- ibu yang menyusukan anak. Dengan itu, kaum ibu tidak
perlu risau akan kekurangan penghasilan susu dan kesannya terhadap bayi
selagi mana mereka istiqamah dalam mengamalkan pemakanan yang seimbang
dan sihat semasa di bulan Ramadhan. Kebimbangan dan kekhuatiran tidak
seharusnya timbul apatah lagi berpuasa sebenarnya lebih banyak memberi
kemanfaatan kepada semua berbanding kemudaratan. Kemudaratan hanya
berlaku dalam kes- kes terpencil yang diharuskan dalam agama untuk
berbuka puasa.
Pelbagai persoalan yang timbul di
fikiran ibu- ibu yang menyusukan bayi berkenaan dengan puasa. Namun, ia
mungkin akan terjawab jika kita sendiri faham akan erti pengurusan puasa
dan juga tahu akan natijahnya dari sudut perspektif sains. Kadangkala
bukan ibu yang menyusukan bayi bimbang akan kesihatan tetapi masyarakat
sekeliling ataupun keluarga terdekat yang mempengaruhi minda dan
pemikiran ibu- ibu bahawa berpuasa boleh membahayakan bayi yang disusui.
Lantas, sebab itulah perlunya pemahaman yang mendalam tentang puasa dan
peri pentingnya penyusuan susu ibu agar pilihan untuk berbuka puasa itu
dapat diminimumkan. Ia merupakan satu langkah yang proaktif supaya
tidak timbul masalah yang mendatang dan kesihatan ibu dan anak juga akan
diberkati Allah natijah daripada manfaat puasa itu sendiri.