Mat Melaka, kisah benar pembunuh bersiri Melayu
Bila menceritakan mengenai pembunuh bersiri, kita akan terbayang imej-imej ganas dari negara barat.
Namun, jangan terperanjat. Kes pembunuhan bersiri pernah berlaku di 
negara ini dan antaranya adalah kisah seorang pawang dengan nama Mat 
Melaka yang berlaku berpuluh tahun sebelum kemerdekaan negara.
Pelik jugak jiwa orang Melayu ini kan…dalam lemah lembut, sudah ada yang menjadi pembunuh bersiri ratusan tahun lalu.
Petikan di bawah adalah bahan yang dipetik dari laman facebook PDRM berasa sumber Buletin Bukit Aman tahun 1984.
Ikuti kisah mengenai pembunuhan bersiri oleh seorang bomoh pada tahun 
1908 di Kampung Bota, Sungai Perak. Kisah ini menceritakan episod 
pembunuhan serta kronologi tindakan dan usaha pihak polis bagi 
memastikan pembunuh dihadapkan ke Mahkamah dan dihukum.
Pada suatu ketika dalam tahun 1908, nama Mat Melaka telah menggerunkan 
seluruh Kampung Bota yang terletak di sebelah hilir pinggir Sungai 
Perak. Sebutan namanya lebih dahsyat lagi dari mendengar kisah hantu 
kum-kum yang mencari anak gadis sunti di waktu senja.
Kewujudan balai polis sudah tidak dapat meyakinkan orang-orang kampung 
tentang kedaulatan undang-undang. Institusi penghulu sebagai simbol 
kesejahteraan menerusi pengekalan sosio-budaya masyarakat nampaknya 
tidak dapat menyatu dan membulatkan tekad dan semangat untuk menentang 
Mat Melaka.
Mat Melaka ialah anak seorang bomoh dan bapanya telah menurunkan segala 
ilmunya kepada Mat Melaka. Sejak kecil lagi Mat Melaka telah mengembara 
ke Perak dan menyara kehidupannya sebagai seorang pawang di Bota.
Pada mulanya kedatangan Mat Melaka disambut baik oleh penduduk-penduduk 
di sana sehingga Mat Melaka diterima untuk berkahwin dengan seorang 
gadis tempatan. Hasil dari perkongsian hidup ini Mat Melaka telah 
mendapat seorang cahaya mata.
Setelah mendirikan rumahtangga Mat Melaka terus menyara kehidupannya 
sebagai pawang. Tetapi lama-kelamaan Mat Melaka telah memperdayakan 
kepercayaan orang terhadap ilmunya sehingga beliau sanggup memerangkap 
lalu membunuh dengan kejam mereka yang datang meminta bantuan darinya 
dan merampas harta-benda mangsanya.
Tidak diketahui siapakah orang yang menjadi mangsa pertama Mat Melaka, 
tapi besar kemungkinan bahawa beliau adalah bertanggungjawab atas 
pembunuhan seorang penjaja kain bernama Mat Jenser di sebuah lorong dari
 Tanjung Rambutan ke Ipoh.
Mengikut laporan Ketua Polis Daerah Kinta, ACP E. Spinks bahawa pada 
13/10/1908, Mat Jenser meninggalkan rumahnya untuk berjaja. Sehingga 
pada 19/10/1908, Mat Jenser tidak balik-balik.
Gerakan mencari beliau diatur oleh keluarga dan rakan-rakannya. Mereka 
telah menjumpai mayat Mat Jenser di pinggir sebuah kampung bernama 
Tanjung Rekong. Mat Jenser dijumpai dalam keadaan separuh bogel, dan 
hampir sudah tidak dapat dikenali lagi.
Kaki kanannya terputus mungkin telah dibaham oleh babi hutan. 
Lalat-lalat dan ulat yang mengerumuni bahagian muka menyukarkan orang 
untuk mengenalinya. Walau bagaimanapun pihak polis berusaha untuk 
mengumpul seberapa banyak bukti yang boleh sekurang-kurangnya untuk 
menentukan sama ada Mat Jenser telah dibunuh orang atau diserang 
binatang buas.
Dari pemeriksaan yang dijalankan jelas bahawa Mat Jenser telah dibunuh. 
Di bahagian pangkal tengkuknya merupakan tempat yang paling banyak 
dikerumuni ulat. Ini menunjukkan bahawa pangkal tengkuk Mat Jenser telah
 luka sebelum dia mati.
Polis juga mendapati bahagian tengkoraknya retak akibat dipukul. Apabila
 pemeriksaan post-mortem dilakukan di hospital besar Ipoh, doktor yang 
melakukan pemeriksaan telah mengesahkan ‘modus operandi’ yang diramalkan
 oleh polis itu.
Pada mula-mulanya pihak polis tidak menaruh syak terhadap sesiapa atas 
pembunuhan Mat Jenser. Tetapi maklumat-maklumat selanjutnya mengenai 
kegiatan Mat Melaka besar kemungkinan bahawa Mat Melaka telah berjumpa 
dengan Mat Jenser di Tanjung Rambutan dan dalam perjalanan mereka di 
satu lorong menuju ke Ipoh, Mat Melaka telah mempengaruhi Mat Jenser 
untuk menerima bantuan kuasa ghaib supaya melipat-gandakan wangnya.
Setelah Mat Jenser bersetuju, Mat Melaka terus menjalankan rancangannya 
yang sangat kejam. ‘Chief Inspector’ H. Doel, Ketua Polis Daerah Batu 
Gajah memberikan laporan yang amat menarik mengenai kegiatan Mat Melaka 
ini.
Beliau menceritakan iaitu sejak bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Batu
 Gajah pada awal tahun 1909, beliau telah mendengar beberapa berita 
mengenai aktiviti seorang lelaki Melayu bernama Mat Melaka yang tinggal 
di kampong Bota, Parit, Perak.
Dikatakan bahawa Mat Melaka mempunyai kuasa ghaib yang amat berkesan 
sehingga orang-orang kampong percaya bahawa kuasa-kuasa Mat Melaka itu 
telah mengakibatkan ‘ghaib’nya tiga orang lelaki dari kampong itu.
Maklumat tersebut begitu menggemparkan sehingga Ketua Polis Negeri Perak
 ketika itu Major Graham telah mengarahkan Mr. H. Doel untuk memulakan 
penyiasatan rasmi.
Doel telah melakukan beberapa lawatan ke Parit dan Bota tetapi tidak 
dapat sebarang kerjasama dari penduduk-penduduk tempatan. Apabila sahaja
 nama Mat Melaka disebut, setiap orang yang ditanya itu akan berubah 
menjadi gelisah dan ketakutan lantas tidak mahu berbicara lagi.
Pada suatu hari sewaktu Doel, melawat pekan kecil Tronoh, beliau 
mendapat maklumat bahawa seorang kontraktor balak yang dipanggil orang 
dengan nama Ngah, boleh membantu polis untuk mengesan kegiatan Mat 
Melaka.
Tidaklah sukar bagi Doel mencari ‘Ngah’ kerana tidak ramai orang Melayu 
yang bekerja sebagai kontraktor ketika itu. Ngah telah menceritakan satu
 pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayatnya .
Ngah menceritakan bahawa dia mula-mula berkenalan dengan Mat Melaka 
semasa dalam bulan Febuari atau Mac, 1910, di ‘Tronoh Mine’ di mana dia 
bekerja sebagai sub. kontraktor balak (timber).
Mat Melaka telah datang menemuinya dan bertanya sama ada dia berminat 
untuk menambah wang pendapatannya tanpa memerah keringatnya. Ngah 
bersetuju dengan syarat Mat Melaka mendedahkan cara-cara bagaimana wang 
tersebut boleh didapati.
Mat Melaka mengeluarkan satu cerita dan menerangkan kepada Ngah mengenai
 rancangannya. Mat Melaka memberitahu Ngah bahawa dia boleh 
melipatgandakan wang dari $30/- ke $60/- dan seterusnya Ngah bersetuju.
Beberapa hari kemudian mendapat gajinya dari ‘Mine’ dan Mat Melaka sudah
 berada di Tronoh ketika itu. Dibawanya Ngah ke pinggir hutan antara 
Tronoh dengan Batu gajah dan di sana Mat Melaka memilih satu tempat di 
pangkal sebatang pokok serdang. Mat Melaka mengeluarkan kertas dan 
membentangkannya di atas tanah dan Ngah mengeluarkan wang tunai sebanyak
 $30/-.
Wang ini diletak oleh Mat Melaka atas carta tersebut. Ngah disuruh duduk
 mencangkung di hadapan carta , sambil memejamkan mata dan mengikuti 
jampi-jampi yang diucapkan oleh Mat Melaka. Semasa ‘upacara’ ini 
berjalan Mat Melaka berada di belakang Ngah.
Sementara membaca jampi serapah itu Ngah tidak begitu sedap hati lalu 
menoleh ke belakang untuk melihat apakah yang sedang dilakukan oleh Mat 
Melaka.
Tindakan Ngah adalah tepat pada waktunya, seolah-olah sudah digerakkan untuk berbuat demikian.
Dilihatnya, Mat Melaka sedang mengangkat sebatang kayu sebesar betis 
untuk memukul pangkal tengkuknya. Ngah bergegas melompat dan lari dari 
situ meninggalkan wangnya di bawah pokok serdang itu.
Doel puas hati bahawa Ngah bercakap benar. Dia merancang untuk menangkap
 Mat Melaka. Doel telah mengarahkan Ketua Balai Polis Parit, untuk 
menangkap Mat Melaka tetapi setiap kali polis sampai ke Bota, Mat Melaka
 tidak ada di rumah.
Orang-orang kampungnya tidak berani bekerjasama dengan pihak polis 
kerana khuatir ‘bencana’ yang mungkin akan menimpa. Akhirnya Doel telah 
berbincang dengan Penolong Pegawai Daerah Parit dan Penghulu Bota.
Penolong Pegawai Daerah itu telah mengarahkan Penghulu Bota untuk 
mengeluarkan kenyataan memanggil semua orang lelaki kampong Bota supaya 
hadir di masjid di suatu hari dan masa yang ditetapkan untuk mendengar 
suatu penerangan mengenai peraturan tanah yang baru.
Adalah diharapkan supaya Mat Melaka akan menghadirkan diri di masjid pada waktu itu untuk ditangkap.
Masa yang ditetapkan tiba.
Pada jam 6.00 petang semua orang dewasa lelaki telah sampai di masjid 
melainkan Mat Melaka. Pada mulanya harapan untuk memberkas Mat Melaka 
telah mula pudar.
Tiba-tiba setiap anak buah merasa kerana Mat Melaka datang muncul dari 
satu lorong mengarah ke masjid itu. Mat Melaka terus berjalan menuju ke 
masjid.
Masa itu beberapa orang anak buah Tok Penghulu terus menerpa dan 
menangkapnya. Tidak ada masa bagi Mat Melaka untuk menghunus golok yang 
tergantung di pinggang sebelah kirinya.
Dalam laporannya, Doel menceritakan sebanyak 200 lebih bot dan sampan mengiringi bot yang membawa Mat Melaka dari Bota ke Parit.
Apabila sudah sampai di Balai Polis Parit, anggota polis di balai itu 
meminta kebenaran Doel untuk menggunakan kesemua gari yang ada di balai 
(4 gari) untuk menggari kaki dan tangan Mat Melaka ke batang-batang besi
 lokap dalam balai itu.
Setelah Mat Melaka dapat ditawan, maklumat telah datang mencurah-curah 
mengenai kegiatannya. Selama ini orang ramai takut untuk tampil ke 
hadapan membantu pihak polis.
Doel telah membawa Mat Melaka ke rumahnya di Bota untuk menjalankan 
pemeriksaan. Dalam sebuah peti Doel menjumpai sebuah buku nota yang 
mengandungi carta.
Carta ini kemudiannya disahkan oleh Ngah sebagai carta yang digunakan di
 Tronoh di mana Mat Melaka telah gagal dalam rancangannya untuk membunuh
 Ngah. Doel juga telah menjumpai barang-barang hiasan perak yang 
kemudiannya disahkan sebagai harta-harta kepunyaan Kulop Mat Taib.
Di tengkuk anak Mat Melaka tergantung seutas rantai emas dan dan wang 
tembaga kepunyaan Kulop Mat Taib. Kulop Mat Taib telah hilang lesap 
sejak 28 November 1909.
Kali terakhir beliau dilihat ialah bersama-sama dengan Mat Melaka, waktu
 pagi di hari yang sama. Mereka menuju ke Kampung Merbau lebih kurang 
dua batu dari rumah Mat Melaka. Mereka dilihat oleh dua orang petani di 
situ.
Walaubagaimanapun pun hanya Mat Melaka sahaja yang balik.
Doel telah merancangkan satu pasukan untuk mencari mayat Kulop. Mereka 
memulakan gerakan mencari di pinggir hutan Kampung Merbau. Di sana 
pasukan mencari telah menjumpai tengkorak dan tulang-tulang bahagian 
badan, kaki dan tangan.
Tengkorak (terutama bahagian gigi) dan lain-lain tulang itu telah dapat 
membantu pihak perubatan untuk mengecam sebagai Kulop Mat Taib.
Lebih kurang suku batu dari tempat ini telah dijumpai rangka-rangka dua 
manusia yang dapat dikesan sebagai rangka orang lelaki. Tengkorak dua 
orang ini telah hilang. Mungkin telah dimusnahkan oleh babi hutan.
Semasa perbicaraan isteri Mat Melaka telah memberi keterangan untuk 
pihak pendakwa. Beliau mengesahkan iaitu selepas hilangnya ketiga-tiga 
orang tersebut, suaminya telah mendapat wang dan barang kemas yang 
banyak.
Perbicaraan telah memakan masa selama dua belas hari di mana seramai 30 orang saksi memberikan keterangan mereka.
Mat Melaka telah dijatuhkan hukuman mati (didapati bersalah). Hukuman dijalankan di penjara Taiping dalam bulan Disember 1910.
SUMBER : http://www.malaysiastream.com/2012/08/mat-melaka-kisah-pembunuh-bersiri-melayu.html