SAYA mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun empat bulan (sekarang memasuki tadika usia 5 tahun). Anak saya selalu mengalami tegang di kemaluannya (zakar), dan dia tidak selesa dengan keadaannya itu.
  Jadi, anak saya selalu memegang kemaluannya supaya zakarnya dapat  turun. Untuk pengetahuan doktor, anak saya pernah menjalani pembedahan  hernia semasa umurnya dua tahun.
  Soalan saya, Adakah perkara ini normal pada kanak-kanak seperti  anak saya? Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku dan adakah  keadaan ini dapat dipulihkan dan bagaimana?
Ibu Resah
Ereksi spontan boleh berlaku kepada semua lelaki baik muda, mahu pun yang tua, cuma tahap, kekuatan dan masa ereksi berbeza.
Sedangkan bayi lelaki dalam rahim ibu pun boleh mengalami ereksi  dan kadangkala doktor yang melakukan ujian imbasan dapat memastikan  jantina bayi dalam rahim ibu melalui ereksi spontan bayi lelaki.
Anda tidak perlu bimbang yang anak anda mudah sangat mencapai  ereksi. Dengan dia memegang ereksinya tidak akan menimbulkan masalah dan  anda tidak perlu melakukan apa-apa kecuali membiarkannya berlaku.
Lambat-laun dia tidak akan menumpukan perhatiannya kepada  ereksinya apabila perkara itu menjadi biasa, lebih lagi jika anda tidak  mengingatkannya tentang perkara itu.
Jadi ereksi spontan yang berlaku kepada kanak-kanak kecil seperti  anak anda, itu perkara normal dan bukan penyakit. Biarkan sahaja dan  keadaan akan menjadi biasa.
Berkaitan dengan angin pasang yang anak anda alami dan sudah pun  menjalani pembedahan pemulihan, perkara itu tiada kaitan dengan perilaku  dia memegang dan mudah mencapai ereksi spontan.
Secara kebetulan, komunikasi atau jalanan antara kerandut dan  perut kekal setelah buah zakar itu masuk ke dalam kerandut dari tempat  asalnya, iaitu berdekatan buah pinggang dalam perut ketika bayi lelaki  itu masih dalam perut ibu.
Apabila jalanan itu kekal, ketulan usus boleh termasuk dan  bahagian itu akan terjojol apabila bayi itu menangis. Apa yang doktor  lakukan itu iaitu melakukan pembedahan pemulihan, menutup jalanan dan  memasukkan usus kembali ke dalam perut, memang tepat sekali.
petikan dari tanya pakar mymetro
