KAJI selidik yang dijalankan oleh pembekal produk tenusu, Fonterra,
mendapati 32 peratus rakyat Malaysia tidak mengambil makanan berkalsium
tinggi setiap hari. Lebih dua pertiga pula tidak melakukan senaman
secukupnya, lantas mendedahkan mereka kepada risiko osteoporosis dan
penyakit lain berkaitan tulang.
Lebih mengejutkan, satu perempat daripada mereka tidak tahu di mana
dan bagaimana untuk mendapatkan vitamin D iaitu nutrien penting bagi
mendapatkan tulang yang sihat dan kuat.
BERKHASIAT...pilih makanan yang banyak sumber kalsium untuk menguatkan tulang.
Osteoporosis yang bermaksud tulang poros, ialah masalah jisim tulang
makin berkurangan, lemah, rapuh serta mudah patah dan dalam jangka
panjang, postur tubuh penghidapnya membongkok dan menjadi lebih rendah.
Ia boleh menyerang semua kumpulan umur tetapi lebih banyak dihidapi
mereka yang berumur 50 tahun ke atas sama ada lelaki atau wanita. Hampir
75 peratus kejadian patah tulang di bahagian pinggul, belakang dan
pergelangan tangan berlaku di kalangan mereka yang berumur melebihi 65
tahun.
Namun, wanita lebih mudah mendapat osteoporosis kerana mereka
kehilangan kepadatan tulang pada kadar lebih pantas apabila paras hormon
estrogen semakin menurun selepas menopaus.
Kajian mendapati seorang daripada dua wanita dan seorang
daripada lima lelaki yang melebihi umur 50 tahun akan menderita patah
tulang akibat osteoporosis dalam tahun selebihnya dalam kehidupan
mereka.
Secara global, patah tulang disebabkan osteoporosis
dianggarkan berlaku setiap tiga saat. Namun insiden berkenaan berbeza
antara negara dan kumpulan masyarakat.
Masalah osteoporosis
selalunya tidak disedari selama bertahun-tahun oleh penghidapnya kerana
tidak ada simptom atau kesakitan, sehinggalah kejadian patah tulang
berlaku.
Tulang pesakit osteoporosis mudah patah walaupun
berlaku pelanggaran kecil atau ketika membongkok dalam aktiviti harian.
Mana-mana bahagian tulang boleh patah atau retak tetapi bahagian paling
mudah tercedera ialah pergelangan tangan, belakang dan pinggul.
Apabila patah tulang, pesakit akan mengalami rasa perit yang
keterlaluan, ketidakupayaan dan kualiti hidup yang merosot. Patah
pinggul juga selalunya akan menyebabkan pesakit terpaksa dimasukkan ke
wad, menjalani pembedahan besar atau berhadapan dengan risiko kematian.
Berita baiknya, osteoporosis ialah antara penyakit yang boleh dirawat
dan dihindari melalui gabungan amalan gaya hidup sihat seperti bersenam
dan pengambilan kalsium dan vitamin D secukupnya.
Pakar
ortopedik dan trauma, Dr Chin Chee Howe, berkata jisim tulang mencapai
kemuncaknya pada usia 30 tahun dan sebaik mencecah umur berkenaan, tanpa
senaman dan nutrisi yang mencukupi, tulang akan menjadi rapuh,
seterusnya menyebabkan osteoporosis.
Beliau berkata, semua
individu perlu mengambil langkah untuk menjaga kesihatan tulang mereka
sejak muda misalnya dengan berhenti merokok serta mengambil diet kaya
dengan kalsium, protein, vitamin D selain mengekalkan berat badan ideal
dan melakukan senaman mengangkat berat.
“Osteoporosis ialah
penyakit senyap yang menjejaskan kualiti tulang dan kepadatannya.
Apabila anda berasa sakit belakang, ia mungkin disebabkan oleh
osteoporosis.
“Kira-kira 75 peratus rakyat Malaysia di negara
ini tidak bersenam. Oleh itu, mereka perlu melakukan beberapa perubahan
dalam gaya hidup supaya tidak berada dalam peratusan penghidap
osteoporosis,” katanya pada pelancaran Persidangan Osteoporosis Asia
Pasifik Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF), baru-baru ini.
Risiko yang mendedahkan seseorang kepada osteoporosis ialah genetik,
jantina wanita, pertambahan umur, sejarah patah tulang, kurang berat
badan, merokok, pemakanan tidak seimbang, tidak bersenam dan pengambilan
steroid dalam jangka panjang.
Selain susu, sumber lain yang
boleh membekalkan kalsium dan vitamin D kepada tulang ialah cahaya
matahari, sayur-sayuran hijau seperti brokoli, bayam, sawi dan kailan,
ikan sardin dan ikan tongkol, keju, yogurt serta telur.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan senaman berterusan dalam
tempoh 30 hingga 40 minit sebanyak lima kali seminggu, seperti tai chi,
yoga,
berlari, berjalan kaki, mengangkat berat dan bermain tenis.
Sementara itu, Pensyarah Endokrinologi dan Metabolisma, Institut Sains
Perubatan New Delhi, Dr Nikhil Tandon, berkata osteoporosis kini
dikelaskan sebagai masalah kesihatan yang serius di empat negara.
Beliau berkata, osteoporosis kini menjadi masalah yang besar kerana
setiap tahun kejadian patah tulang merekodkan 1.5 juta kes, melebihi
serangan penyakit jantung, strok dan barah payudara.
“Dijangka
masalah patah tulang akibat osteoporosis akan meningkat kepada 50
peratus di Asia menjelang 2050. Apabila terdedah kepada masalah tulang
rapuh, ia boleh menyumbang kepada risiko kematian sebanyak 20 peratus,
hilang upaya kekal (30 peratus) dan hilang keupayaan bekerja (80
peratus),” katanya.
Risiko itu juga boleh berpunca daripada
pengambilan kafein yang tinggi seperti pengambilan tiga cawan kopi
sehari, kurang kalsium dan vitamin D, pengambilan melebihi tujuh auns
alkohol dalam seminggu, mengambil dadah, tembakau dan kurang bersenam.
Masalah osteoporosis berlaku di seluruh dunia dan berbeza di setiap
negara misalnya di negara empat musim, kira-kira 45 peratus
kanak-kanaknya boleh terdedah kepada masalah berkenaan ketika musim
sejuk kerana kekurangan pendedahan terhadap cahaya matahari.
Di
India pula, kira-kira 85 peratus wanita mengandung terdedah kepada
osteoporosis kerana kekurangan zat vitamin D dalam tubuh mereka manakala
di Mongolia, kira-kira 10 peratus kanak-kanak kecil mengalami masalah
riket kerana kurang kalsium.
Di Kuala Lumpur, lebih 60 peratus
penduduknya didapati kurang mengambil kalsium dan masalah osteoporosis
turut berlaku di Timur Tengah seperti di Tehran, lebih 80 peratus orang
dewasa yang sihat didapati kurang vitamin D.
Namun di Jepun,
masalah itu tidak terlalu meruncing dan hanya tiga peratus mengalami
masalah kurang kalsium dan vitamin D, kemungkinan besar kerana diet
penduduknya menjadikan ikan sebagai makanan utama.
Dalam semua
keadaan, golongan warga emas, kanak-kanak kecil, wanita dan bayi baru
lahir terdedah kepada masalah kekurangan kalsium dan vitamin D.
Menurut Dr Tandon, masalah osteoporosis dijangka meningkat di Asia
memandangkan penduduk di rantau ini kebanyakannya cuma mengambil 46
miligram kalsium sehari berbanding di negara Barat yang purata
pengambilan kalsium ialah 1,000 miligram sehingga 1,300 miligram sehari.
Katanya, antara sebab lain berlakunya pertambahan kejadian patah tulang
pula adalah populasi yang semakin ramai orang berusia, keadaan sosio
ekonomi, kekurangan vitamin D yang meluas dan pengambilan kalsium yang
terlalu rendah.
“Osteoporosis susah dikesan antara lain kerana
kurang minat untuk membuat pemeriksaan walaupun selepas patah tulang
berlaku serta tidak mendapat kemudahan untuk membuat pemeriksaan
kepadatan tulang menggunakan teknologi mesin DXA,” katanya.
Sementara itu, pensyarah radiologi, Chan Lai Kuan, 55, yang juga seorang
penghidap osteoporosis, berkata ibunya juga menderita masalah
osteoporosis dan pernah patah tulang pinggul sebanyak dua kali selepas
terjatuh dan kini hanya duduk di kerusi roda.
Pada 2003, Chan
sendiri didapati mengalami masalah sama selepas melakukan pemeriksaan
kepadatan tulang namun doktor tidak melakukan rawatan. Dia hanya
dinasihatkan mengambil kalsium dan vitamin D kerana umurnya yang masih
muda ketika itu.
Namun selepas membuat pemeriksaan sekali lagi
pada 2010, keadaannya bertambah teruk dan terpaksa menjalani rawatan
serta mengambil ubat untuk melambatkan proses kehilangan jisim tulang
dan perlu sentiasa berhati-hati bagi mengelak tulangnya patah.
“Saya tidak mahu mengalami nasib yang sama seperti ibu. Jadi sekarang
saya sangat berhati-hati supaya tidak jatuh dan mengalami patah tulang,
selain melakukan senaman angkat berat,” katanya.
-sumber