Tukang urut ditemui mati
Zahari menunjukkan mayat Rosli ditemui penduduk Kampung Binjal, malam kelmarin.
 
PASIR MAS – Seorang tukang urut Kampung Binjal ditemui mati seorang diri di dalam rumahnya, jam 7.30 petang, kelmarin.

Penghulu Mukim Gelang, Zahari Umar berkata, meskipun mangsa Rosli Yunus, 44, dipercayai mati sejak beberapa hari lalu, namun penduduk tidak terdengar mahupun terbau sesuatu yang pelik.

"Sekitar rumah mangsa dipenuhi tumbuhan liar malah berada agak jauh daripada jiran tetangga.

“Sebelum ini, saya dah cuba memanggil arwah, namun tidak berbalas. Ada juga khabar angin, menyatakan dia keluar ke Kota Bharu bertemu saudaranya di sana.

“Genap seminggu, kami mengambil keputusan untuk menyerbu masuk, namun pagarnya tertutup dari dalam,” katanya.

Setibanya di rumah, kami dapati mangsa sudah meninggal dunia di ruang tamu dan dipenuhi ulat.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.

“Bedah siasat mendapati arwah diserang sawan dipercayai dua hari lalu, sebelum meninggal dunia.

“Tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Jenazah diserahkan kepada pihak Jabatan Agama Islam, untuk urusan pengebumian kerana tiada waris menuntut mangsa sehingga semalam.