D

31 Ogos 2017

Nadzmi cuak 'mereka berempat' ada

PELAKON dan pengacara Nadzmi Adhwa, 25, akui gerun ketika kali pertama melihat senarai pelakon hebat yang membintangi filem Safari Mall arahan Jordan Suleiman.
Baru dua tahun bergelar anak seni, Nadzmi yang dipilih sebagai teraju utama berganding dengan Eyka Farhana merasakan tanggungjawab besar apabila bekerjasama dengan Bront Palare, Namron, Radhi Khalid dan Soffi Jikan yang turut berlakon dalam filem itu.
"Saya memang rasa cuak berlakon dengan mereka. Tambah pula saya masih baru dan terlalu banyak lagi perkara mengenai lakonan yang perlu saya perbetulkan.
"Kalau orang lain yang dengar pun rasa situasi itu mendebarkan inikan pula saya yang perlu berdepan dan berlakon dengan mereka sepanjang penggambaran.
"Namun, mereka melayan saya dengan baik malah tidak lokek berkongsi ilmu lakonan. Keadaan itu membuatkan saya selesa dan setiap hari teruja untuk ke lokasi," katanya.
Selepas berlakon dalam Langit Cinta, filem ini adalah filem kedua lakonannya tetapi kali pertama memegang watak utama.
Nadzmi sudah bersiap sedia dengan pandangan masyarakat apabila nama-nama hebat itu sekadar memegang watak pembantu manakala budak baru sepertinya diberikan tanggungjawab besar.
"Memang tekanan itu agak terasa kerana watak utama adalah individu yang sepatutnya akan menjadi perhatian penonton. Saya bekerja keras agar lakonan saya setara dengan pelakon lain.
"Mahu menjadi hebat seperti mereka bukannya mudah. Saya sendiri masih mengikuti kelas lakonan tetapi saya cuba yang terbaik agar lakonan saya tidak ketinggalan jauh dari mereka.
"Saya sedar, pasti persoalan akan timbul kenapa yang baru menjadi utama sedangkan pelakon pembantu lagi popular dan hebat untuk watak berkenaan. Tetapi, saya sudah bersiap sedia berhadapan dengan isu sedemikian," katanya.
Selain filem, Nadzmi juga sibuk dengan karier pengacaraan dan kini berganding dengan Fikry Ibrahim sebagai hos Jalan Jalan Makan Angin.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 4:05 PM

30 Ogos 2017

Didakwa 'geng kunyit' ini jawapan Hafiz

PENYANYI nasyid Hafiz Hamidun, menggesa mana-mana pihak yang mendakwa bahawa beliau bukan lelaki sejati dan sukakan kaum sejenis menampilkan bukti berhubung dakwaan itu.
Katanya sekiranya, tiada bukti berhubung dakwaan tersebut, beliau tidak teragak -agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
"Tak apalah kalau dia (Joy)...buat kenyataan, dia kena buktikan dan jika berlakunya unsur-unsur yang tidak tepat saya anggap itu fitnah dan pihak peguam saya tak ragu-ragu untuk mengambil tindakan saman," katanya dalam sidang medianya di Damansara hari ini.
Terdahulu,  isterinya, Siti Arifah Mohd Amin,30, atau lebih dikenali sebagai Joy Refva mendakwa Hafiz mengaibkan dirinya apabila menjaja cerita ‘dalam kelambu’ mereka kepada orang luar.
Siti Arifah  mendakwa, selama ini beliau hanya berdiam diri dan bersabar kerana ingin menjaga status suaminya sebagai ‘ustaz penyanyi’, tetapi apabila diberitahu dia menjaja cerita dalam kelambu, tiba dia tampil bersuara.
“Dia menghebahkan cerita tidak pernah ‘menyentuh’ isteri dari malam pertama hingga sekarang kepada orang luar. Sudah tentu keluarga meminta saya bertindak mempertahankan maruah diri.
“Saya tidak akan bersuara jika bukan dia yang memulakannya. Apa niat dia memutar belit cerita dan membuka aib tidak pernah menyentuh saya? Kenapa harus memberitahu seluruh alam mengenai perkara itu?” katanya seperti yang dilaporkan media tempatan.
Sementara itu, mengulas perkara itu Hafiz  mengakui bahawa beliau tidak pernah melakukan hubungan kelamin sejak awal pernikahan, Hafiz berkata, perkara itu berlaku  kerana ada keraguan membabitkan pernikahannya sehingga dia mengambil tindakan sedemikian.
"Bila membabitkan isu di awal pernikahan itu, saya cuba menjalankan tanggungjawab sebagai mana pasangan suami-isteri tapi kerana ada keraguan dalam satu perkara tersebut saya bertindak ikut undang yang benar.
"Jadi saya tidak pernah melakukan hubungan suami isteri, sejak awal," katanya.
Dalam pada itu, katanya pada awalnya beliau berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan isu rumah tangganya, namun segalanya tidak 'menjadi' sehinggalah ke hari ini.
"Saya dah lakukan yang terbaik, jadi saya reda dan terima seadanya," katanya.
Dalam pada itu, menghuraikan mengenai keraguan membabitkan perkahwinannya, Hafiz berkata 'ketika berkahwin Siti Arifah masih berstatus isteri orang'.
"Pada 8 Ogos 2017 saya dan Siti Arifah telah ke Pejabat Agama Islam Daerah Petaling untuk menyerahkan surat cerai taklik tersebut dan menjalani siasatan bersama Pegawai Tadbir Agama Daerah.
"Hasil siasatan mendapati bahawa Siti Arifah masih dalam ikatan perkahwinan dari suami yang terdahulu ketika pernikahan kami yang berlangsung pada 1 Mei 2017," katanya.
Semalam, Siti Arifah memfailkan pembubaran pernikahan mereka pada 18 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas tindakan suaminya itu yang meragui pernikahan mereka.
Siti Arifah yang ditemui di pekarangan mahkamah itu berkata, tindakan itu diambil bagi mempertahankan hak dan statusnya sebagai isteri Hafiz yang sah.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1 Mei lalu.
Siti Arifah  sebelum ini pernah berkahwin dengan Datuk Ray Imran dan mempunyai seorang anak lelaki.

28 Ogos 2017

Menyamar pegawai polis, SPAD, Imigresen

POLIS berjaya menyelesaikan lapan kes samun berkumpulan menggunakan senjata api dan menyamar penjawat awam apabila dua lelaki ditahan di Jalan Kebun Teh dekat Larkin, Johor, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dua suspek berusia 30 dan 36 tahun itu ditahan pada 8.10 malam ketika sedang menyamun seorang lelaki warga asing.
Beliau berkata, ketika itu, kedua-dua mereka menyamar sebagai pegawai polis dengan memakai vest selain menunjukkan pistol tiruan ke arah mangsa.
"Dua suspek ini dipercayai terbabit dalam lapan kes seumpama ini sejak Januari lalu. Dalam kes-kes yang dilakukan, mereka bukan sahaja menyamar sebagai pegawai polis, malah turut menyamar sebagai anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Itu modus operandi dilakukan dua suspek ini dan kebanyakkannya mereka menyasarkan mangsa lelaki dan antara mangsa mereka adalah warga asing," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS di sini, hari ini.
Menurut Shahurinain, selepas ditahan, polis menjalankan pemeriksaan pada motosikal digunakan suspek dan menjumpai pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan samun dan juga barangan hasil kegiatan jenayah mereka.
Katanya, antara yang dirampas adalah alat renjatan elektrik, pistol tiruan, enam telefon bimbit, dompet, beberapa not mata wang asing dan kad pengenalan diri Indonesia.
"Semua barangan ini dijumpai ketika pemeriksaan dalam beg dibawa suspek dan motosikal yang mana kebanyakkan barangan ini disembunyikan di bawah tempat duduk kenderaan itu," katanya.
Shahurinan berkata, kedua-dua suspek sebelum ini ditahan reman empat hari dan akan disambung lagi selepas tempoh reman itu tamat hari ini.
"Kedua-dua mereka adalah rakan dan juga penganggur dan masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes pecah amanah dan curi kenderaan.
"Malah, mereka juga didapati positif Methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing yang dilakukan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata, Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki pistol tiruan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 4:57 PM

SUDU

Arkib Blog